LLM laksana 4 langkah keselamatan susulan kren jatuh di projek lebuh raya SUKE

Tiga orang maut selepas sebuah komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaksanakan empat langkah untuk memastikan keselamatan pengguna dan orang awam ketika melalui kawasan pembinaan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).

“Pihak kontraktor telah diarahkan untuk memberhentikan kerja di tapak kecuali
kerja-kerja menyelamat termasuk kerja penstabilan struktur,” kata ketua pengarah LLM, Shuhaimi Hassan.

Langkah kedua adalah menyediakan akses sementara untuk penghuni Kondominium Puncak Banyan.

“Ketiga, memaklumkan kepada pengguna lebuh raya berhubung pelan akses sementara di semua medium komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Shuhaimi menambah sebagai langkah terakhir, pihak SUKE juga telah diminta untuk memeriksa semua ‘launching gantry’ dan rasuk yang dilancarkan di tapak pembinaan terbabit.

Beliau juga berkata SUKE telah mendapat kelulusan penutupan penuh jalan sedia ada di Taman Leng Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3).

Bagaimanapun, di Persiaran Alam Damai (Zon 1), pihaknya perlu memastikan terdapat laluan alternatif terlebih dahulu sekiranya cadangan untuk menutup laluan dilaksanakan.

Ketika ini, Shuhaimi berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sedang menyiasat punca kejadian dan akan mengemukakan laporan kepada kerajaan.

Semalam, tiga orang dilaporkan maut selepas sebuah komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, kejadian itu melibatkan enam mangsa dengan tiga daripadanya adalah pekerja binaan.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd berkata, kejadian itu berlaku apabila komponen gantri itu jatuh.