Lokasi penuntut UPM di Thailand dipantau secara berkala demi keselamatan susulan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja

Lokasi penuntut UPM di Thailand dipantau secara berkala demi keselamatan susulan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Demi memastikan keselamatan penuntut sepanjang berada di Thailand, peserta pertukaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) diminta memuat turun aplikasi ‘360’ bagi membolehkan lokasi mereka dipantau secara berkala, susulan ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja.

Menurut penuntut pertukaran Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Damia Farwieza Muhammad Harith Zakwan Tang Abdullah, 22, semua peserta program di Prince of Songkla University (PSU), Thailand, turut diiringi dua penuntut tuan rumah sebagai penunjuk arah sepanjang program bagi memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Katanya, pergerakan hanya dibenarkan menggunakan bas rasmi yang disediakan tuan rumah dan setiap peserta turut diminta sentiasa mengemas kini lokasi semasa sebagai langkah berjaga-jaga.

“Walaupun kami berada jauh dari kawasan sempadan Kemboja, langkah keselamatan tetap diambil memandangkan situasi perang yang berlaku di sana.

“Keluarga dan pensyarah juga kerap menghubungi kami untuk bertanya mengenai keadaan semasa di sini,” katanya dihubungi Harian Metro.

Kata Damia Farwieza, keadaan di sekitar bandar Hat Yai masih terkawal dan tenang dengan aktiviti harian berjalan seperti biasa dan ramai rakyat Malaysia dilihat terus berkunjung ke kawasan itu.

Menurutnya, kawalan keselamatan lebih ketat hanya berlaku di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand apabila beberapa sekatan jalan raya dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kastam Thailand turut memperketatkan pemeriksaan.

“Penduduk di sini menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak terkesan kerana jarak Hat Yai dengan sempadan Kemboja agak jauh.

“Bagaimanapun, daripada segi ekonomi, kami dapati nilai mata wang baht sedikit menurun berbanding minggu lalu, mungkin kesan daripada situasi ketegangan di sempadan,” katanya.

Sementara itu, pelancong Malaysia yang berkunjung ke Bangkok, Nurul Najlaa Md Saleh, 32, berkata, keadaan di ibu negara Thailand itu pula kekal aman dengan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

Katanya, sepanjang percutiannya selama lapan hari bermula 17 hingga 24 Julai lalu, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku, malah semua acara hiburan tetap berlangsung seperti biasa.

“Bangkok masih tenang dan ramai penduduk menjalani kehidupan seperti biasa. Saya juga akan semak, baca mengenai keadaan di sempadan melalui hantaran rakan Thailand melalui aplikasi X yang menggunakan tanda pagar seperti #cambodiaopenedfire.

“Untuk makluman, saya kerap ke Thailand dan sepanjang itu juga, belum pernah lagi rasa layanan buruk daripada mereka,” katanya.

Konflik sempadan yang sudah lama berlarutan itu kembali tercetus minggu ini.

Menurut Kerajaan Thailand, tujuh anggota tenteranya dan 13 orang awam terbunuh, manakala Kemboja melaporkan lapan kematian awam dan lima anggota tentera maut.

Konflik itu juga memaksa lebih 138,000 penduduk di kawasan sempadan Thailand dipindahkan, manakala 80,000 orang hilang tempat tinggal di Kemboja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top