Lokasi tanah runtuh di Taman Melawati dikenal pasti sebagai zon merah

Lokasi tanah runtuh di Taman Melawati dikenal pasti sebagai zon merah

harisfadli@hmetro.com.my

Ampang: Lokasi insiden tanah runtuh di lereng bukit sekitar Jalan E6, Taman Melawati di sini adalah antara 114 lokasi ‘hotspot’ tanah runtuh yang dikenal pasti sebagai zon merah atau berisiko tinggi di sekitar daerah ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 600 lokasi di seluruh daerah ini dikenal pasti berisiko mengalami kejadian tanah runtuh.

“Kawasan ini boleh ditandakan sebagai zon kuning, jingga dan merah atau yang paling berisiko dan kesemuanya merekodkan lebih 600 lokasi.

“Sementara kawasan berisiko iaitu zon jingga adalah melebihi 400 kawasan, daripada jumlah itu, sebanyak 114 kawasan yang dilihat sangat berisiko tinggi termasuk kawasan tanah runtuh di Taman Melawati ini,” katanya pada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, kawasan itu adalah antara lokasi berisiko yang disenaraikan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Amirudin berkata, struktur tanah di tempat kejadian terletak di atas kawasan batu kapur yang merupakan antara rantaian batu kapur yang panjang dari kawasan Hulu Klang, di daerah Ampang Jaya sehingga ke Batu Caves.

“Apabila berlaku pergerakan air selama beberapa bulan di situ, maknanya akan mudah berlaku gelongsoran tanah dan sekaligus memberikan risiko kepada penduduk.

“Kita sudah memberi peringatan atau pemakluman berhubung perkara ini sebelum ini, tetapi adalah mustahil untuk kita hendak pindahkan semua penghuni di sini.

“Apa yang penting kita berusaha melakukan pembaikan dan beberapa langkah susulan termasuk penyelenggaraan dalam memastikan keadaan selamat,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top