Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kecam tindakan sekumpulan veteran DAP Negeri Sembilan yang menggunakan tuala wanita sebagai simbol protes terhadap dakwaan pelantikan “orang luar” sebagai senator negeri itu.
Loke kecam tindakan tak sensitif
Memetik laporan daripada Malaysiakini, tindakan tersebut dilihat tidak wajar dan amat tak sensitif.
“Tindakan mereka jelas tidak wajar… dan amat tidak sensitif,” tegasnya selepas melancarkan sambutan Hari Kebangsaan Parlimen Seremban di SMK Chan Wa, hari ini.

Loke kecam tindakan veteran DAP, parti ada saluran untuk luah rasa tak puas hai
Menurut Loke, parti mempunyai saluran dalaman untuk menyuarakan pandangan dan sebarang rasa tidak puas hati. Beliau menegaskan, keputusan parti ditentukan kepimpinan tertinggi dan tidak semua pihak akan berpuas hati.
“Tetapi, anda tidak boleh bertindak sedemikian hanya kerana tidak bersetuju dengan keputusan kepimpinan.
“Sudah tentu, setiap keputusan dibuat setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan.
“Namun, apabila keputusan telah dimuktamadkan, kita perlu meneruskan dengan keputusan itu,” katanya.
Tuala wanita sindir pemimpin berdiam diri
Terdahulu, Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan mengadakan sidang media sambil memakai “topeng tuala wanita” sebagai sindiran terhadap dakwaan pemimpin negeri berdiam diri dalam isu pelantikan senator dari luar, dipercayai Vincent Wu dari Johor. Lebih 50 veteran dan wakil cawangan hadir dalam sidang media itu.

Loke menjelaskan sidang media itu hanya melibatkan sebahagian kecil ahli dan tidak mewakili keseluruhan pandangan parti.
Beliau turut menegaskan bahawa menurut Perlembagaan, calon senator tidak semestinya berasal dari negeri yang mencalonkannya.
“Dari sudut Perlembagaan, tiada yang salah selagi calon itu merupakan warganegara Malaysia.
“Perlembagaan tidak menetapkan bahawa calon perlu berasal dari negeri yang mencalonkan,” jelasnya.

Artikel lain: Anthony Loke minta orang ramai jangan politikkan isu sekolah pasang bendera terbalik
Ditanya sama ada Vincent Wu calon yang dimaksudkan, Loke hanya berkata: “Anda akan tahu esok. Kita akan bentangkan di Dewan Undangan Negeri.”




