Loke perjelas subsidi penerbangan sehala musim perayaan

Loke perjelas subsidi penerbangan sehala musim perayaan

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan menjelaskan subsidi diberikan bagi tambang penerbangan sehala semasa musim perayaan kerana ia mempunyai implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke juga berkata, disebabkan itu pihaknya menetapkan harga maksimum tambang penerbangan sehala RM499 semasa musim perayaan.

“Mana-mana tiket atau sepatutnya mereka jual pada harga yang lebih tinggi daripada tambang asas atau RM499 ini, mereka akan diberi subsidi oleh pihak kerajaan. Ini melalui skim yang telah kita laksanakan sejak dua tahun lalu.

“Ini dapat menstabilkan harga tiket penerbangan, terutamanya untuk balik ke Sabah, Sarawak (semasa musim perayaan) dari Semenanjung dan kita laksanakan dasar ini tiga hari sebelum pusat perayaan.

“Kerana kita tahu bahawa ini adalah tempoh puncak, biasanya harga (tambang penerbangan akan) melambung,” katanya pada sidang media majlis pelancaran kempen Tambang Tetap untuk Pulang Beraya Batik Air di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan; Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi; Ketua Pegawai Ekesekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dengan penetapan harga maksimum itu juga, kerajaan berbelanja lebih RM20 juta setiap tahun bagi membantu menstabilkan harga tiket.

“Dengan kita membuat intervensi ini, dalam dua tahun kebelakangan ini, kita tidak lagi mendengar bahawa harga tiket melambung sehingga lebih RM1,000 untuk sektor balik ke Sabah Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut memaklumkan penerbangan dari Johor Bahru ke Sibu antara yang mendapat permintaan tertinggi penumpang dalam semua musim perayaan di negara ini.

“Ini kerana Sibu laluan utama kepada penduduk di tengah Sarawak seperti Sarikei, Kapit dan sebagainya yang pintu utamanya ialah Lapangan Terbang Sibu. Sudah tentu permintaannya tinggi apabila musim perayaan,” katanya.

Disebabkan itu juga, beliau meminta Batik Air untuk menambah beberapa penerbangan selama tiga hari dari Johor Bahru ke Sibu bermula 13 hingga 15 Februari 2026.

“Walaupun itu bukan penerbangan berjadual mereka. Tetapi atas permintaan saya, mereka menambah beberapa hari dan perlu membuat permohonan khas kepada CAAM untuk penerbangan tidak berjadual seperti ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top