am@hmetro.com.my
Los Angeles: Bintang veteran Hollywood, Loni Anderson yang mencipta populariti dalam siri komedi televisyen (TV), WKRP in Cincinnati yang mula ditayang pada 1978, dilapor meninggal dunia, Ahad lalu, iaitu beberapa hari sebelum menyambut usia 80 tahun.
Anderson meninggal dunia di sebuah hospital di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) akibat penyakit yang berpanjangan, menurut jurucakap lamanya, Cheryl J. Kagan, lapor AP.
“Kami amat berdukacita untuk mengumumkan pemergian isteri, ibu dan nenek tersayang kami,” kata keluarga Anderson dalam kenyataan.
Anderson meninggalkan suami, Bob Flick bersama anak perempuan, Deidra dan menantunya Charlie Hoffman. Anderson juga meninggalkan anak hasil perkahwinan dengan mendiang Burt Reynolds, iaitu Quinton Anderson Reynolds.
Upacara tertutup persemadian Anderson untuk keluarga akan diadakan di Tanah Perkuburan Hollywood Forever, lapor agensi.
Siri komedi WKRP in Cincinnati yang disiarkan hingga musim akhir pada 1982, menyaksikan mendiang Anderson melakonkan watak Jennifer Marlowe, iaitu gadis cantik dan bijak yang bekerja di sebuah stesen radio yang cuba bangkit semula dengan mengetengahkan iram rock, di Ohio.
Selain Anderson yang dikenali dengan rambut ‘blonde’, siri komedi itu dibintangi Gary Sandy, Tim Reid, Howard Hesseman, Frank Bonner dan Jan Smithers.
Mendiang Anderson cukup dikenang melalui watak Jennifer dalam drama komedi popular itu. Anderson mencipta pesona tersendiri apabila tampil dengan kasut tumit tinggi dan gelagat melucukan setiap kali mencari helah mengelak panggilan yang tidak diingini untuk majikannya, Carlson, lapor agensi.
Dengan aksi bersahaja, mendiang Anderson menerima dua pencalonan Anugerah Emmy dan tiga pencalonan Anugerah Golden Globe.
Ketika hayatnya, mendiang turut membintangi filem bersama aktor kacak, Reynolds dalam filem komedi, Stroker Ace pada 1983. Mereka kemudian berkahwin dan menjadi tumpuan tabloid sebelum berpisah secara dramatik pada 1994.
Mendiang Anderson menceritakan kisah perkahwinan yang penuh liku itu dalam autobiografi terbitan 1995 berjudul My Life in High Heels, lapor AP.
“Saya fikir jika anda mahu menulis mengenai diri sendiri, anda harus berlaku jujur termasuk sisi buruk. Anda mungkin tidak akan menulis perkara paling indah mengenai diri sendiri kerana anda berkata benar,” katanya kepada AP.
Mendiang Anderson dilapor mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali, dengan perkahwinan terakhir bersama Flick pada 2008.
Loni Anderson dilahirkan pada 5 Ogos 1945 di St. Paul, Minnesota. Ayahnya seorang ahli kimia alam sekitar manakala ibu adalah peragawati.
Anderson membintangi filem pertamanya terbitan 1966 berjuduk Nevada Smith. Sebahagian besar kerjaya Anderson tertumpu di layar kecil seperti drama bersiri Police Woman dan siri komedi pendek, Easy Street dan filem untuk TV seperti A Letter to Three Wives dan White Hot: The Mysterious Murder of Thelma Todd.
Pada 2023, Anderson membintangi filem saluran Lifetime berjudul Ladies Of The 80s: A Divas Christmas bersama Linda Gray, Donna Mills, Morgan Fairchild dan Nicollette Sheridan.
© New Straits Times Press (M) Bhd