am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kerajaan negeri menyasarkan pendapatan tahunan Zoo Johor dijangka melonjak daripada RM1.5 juta kepada RM7 juta setahun susulan naik taraf dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia adalah satu pencapaian amat memberangsangkan hasil pendekatan mesra pengunjung dan peningkatan kemudahan.
Menurutnya, sebagai zoo tertua di negara ini, pembaharuan berkenaan bukan sekadar menaik taraf fizikal, tetapi memartabatkan sejarah dan warisan bandar Johor Bahru itu sendiri.
Menurutnya, Zoo Johor kini mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong luar termasuk dari Singapura dan pelancong antarabangsa.
Katanya, kemudahan sistem e-ticketing, laluan bas shuttle dan reka bentuk zon baharu yang lebih menarik turut menyumbang kepada tarikan terbabit.
“Jika sebelum ini purata pengunjung hanya sekitar 400,000 setahun, tetapi kini anggaran pengunjung mencecah satu juta orang dalam tempoh setahun selepas pembukaan semula.
“Peningkatan ini bukan sahaja membanggakan dari sudut jumlah kehadiran, tetapi juga dari sudut pendapatan. Kerajaan negeri komited menjadikan Zoo Johor sebagai salah satu lokasi must visit sempena Tahun Melawat Johor 2026 seiring misi menjadikan Johor destinasi pelancongan utama di rantau ini.
“Fokus kita jelas iaitu mengangkat Zoo Johor menjadi ikon pelancongan keluarga, pusat pendidikan alam dan pemuliharaan haiwan di tengah-tengah Bandaraya Johor Bahru yang pesat membangun,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan Zoo Johor yang memasuki fasa kedua berkenaan memberi tumpuan kepada menaik taraf kemudahan dalaman zoo serta pembangunan zoo waktu malam.
Menurutnya, antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan menerusi fasa kedua termasuk kandang haiwan, laluan mesra orang kurang upaya (OKU) dan stroller.
Katanya, ia adalah inisiatif baharu yang akan menjadikan pengalaman pengunjung lebih interaktif dan menyeronokkan.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau perkembangan kerja-kerja pembangunan semula Zoo Johor fasa dua yang bermula sejak awal Mei lalu.
“Dengan siapnya fasa dua pada 15 Disember 2025, rakyat Johor dan pelancong akan menikmati sebuah zoo yang bukan sahaja lebih mesra pengunjung, tetapi juga memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, pendidikan dan pengalaman,” katanya.
Kos keseluruhan bagi menaik taraf Zoo Johor bernilai RM7 juta bakal melengkapkan usaha kerajaan negeri Johor dalam menjenamakan semula sebagai zoo bandar yang moden, mesra keluarga dan kompetitif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




