Lorenzo yakin Bagnaia kembali mencabar gelaran

Lorenzo yakin Bagnaia kembali mencabar gelaran

Madrid: Juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo percaya Pecco Bagnaia akan kembali membuktikan dirinya pencabar gelaran selepas melalui musim 2025 yang sukar bersama Ducati.

Juara dunia dua kali itu menempuh musim paling mencabar bersama pasukan Ducati apabila sekadar meraih dua kemenangan dan menamatkan saingan di tangga kelima keseluruhan.

Kemerosotan prestasi itu berlaku ketika rakan sepasukan baharunya, Marc Marquez mendominasi dengan 11 kemenangan grand prix menggunakan jentera sama dalam perjalanan meraih gelaran dunia ketujuh.

Prestasi kurang memberangsangkan musim lalu dikatakan menjejaskan kedudukan Bagnaia di Ducati, dengan Pedro Acosta disebut-sebut bakal menggantikannya.

Namun ujian pramusim 2026 bermula dengan lebih positif buat Bagnaia yang mengakui lebih selesa menunggang jentera GP26.

Bercakap kepada laman rasmi MotoGP ketika ujian di Sepang, Lorenzo menyuarakan keyakinan terhadap pelumba Itali itu.

“Pecco masih seorang juara. Dia pelumba luar biasa, sangat pantas, berbakat dan tepat. Cuma musim lalu dia tidak mempamerkannya.

“Keputusannya tidak menggambarkan kemampuan sebenar. Saya fikir apabila dia lebih selesa dengan jentera, dia akan tunjuk bahawa dia pencabar gelaran,” kata Lorenzo.

Kesukaran Bagnaia musim lalu berpunca daripada kurang keyakinan di bahagian hadapan jentera yang kemudian dikesan berkait dengan sistem ketinggian belakang pada GP25.

Lorenzo turut bersimpati, sambil menjelaskan perubahan kecil pada jentera mampu memberi kesan besar terhadap prestasi, sesuatu yang pernah dialaminya sepanjang karier.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top