am@hmetro.com.my
Seremban: Lori yang merempuh dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga salah seorangnya maut ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori lain di Kilometer 256.1, Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, malam tadi, dipercayai hilang kawalan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian jam 11.30 malam berhampiran susur Plaza Tol Senawang itu membabitkan dua lori dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik JPJ.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian, dua anggota JPJ Negeri Sembilan yang juga pemandu serta penumpang SUV berkenaan dikatakan sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan.
“Sejurus pemeriksaan selesai dijalankan, sebuah lori lain yang membawa muatan barangan makanan kering dari arah belakang melalui lorong kiri dikatakan hilang kawalan.
“Lori itu dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang SUV JPJ dan dua anggota JPJ serta lori diperiksa yang berada di hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu SUV JPJ yang juga lelaki berusia 42 tahun mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Penumpang SUV, seorang lelaki berusia 32 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan serta sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
“Kedua-dua pemandu lori masing-masing lelaki berusia 44 dan 48 tahun turut mengalami kecederaan di kaki dan badan serta menerima rawatan di unit kecemasan HTJ,” katanya.
Alzafny berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6033394 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




