Lori hantar peti ais kena sita, pemandu tiada lesen

Lori hantar peti ais kena sita, pemandu tiada lesen

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan syarikat barangan elektronik mengupah pemandu lori tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) bagi menghantar barang kerana pemandu asal bercuti mengundang padah apabila ditahan dan kenderaan itu disita, semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, lori barangan elektrik itu ditahan di Jalan Seri Wangsa, di sini, dalam operasi harian dijalankan.

Menurutnya, semakan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah tamat tempoh setahun lalu dan tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Ketika disoal siasat, pemandu memberi alasan lori itu baru keluar dari bengkel dan sebab itu LKM belum diperbaharui.

“Pemandu dan kelindan lori terbabit diupah oleh syarikat barangan elektronik untuk menghantar peti ais dan mesin basuh kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemandu asal syarikat terbabit memiliki lesen GDL dan CDL namun sedang bercuti.

“Semakan lanjut juga mendapati perakuan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) juga sudah tamat tempoh.

“Lori itu kemudian disita dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top