hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Taktik licik sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi yang memindahkan diesel subsidi menggunakan lori diubah suai terbongkar selepas kenderaan itu dipintas di Jalan Air Jernih, Setapak di sini, semalam.
Dalam Ops Tiris (Bersepadu) 4.0 sekitar jam 6.40 petang itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya menahan seorang pemandu lori serta merampas 3,500 liter diesel.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, penahanan itu dibuat susulan maklumat risikan Pasukan Khas KPDN WPKL yang mengesan pergerakan mencurigakan sebuah lori di stesen minyak di kawasan Jalan Kepong di sini.
“Pasukan khas KPDN kemudian bertindak mengekori kenderaan itu yang didapati sekali lagi memasuki sebuah stesen minyak di Jalan Kuching dan membuat pengisian diesel sekali lagi,” katanya tadi.
Menurutnya, kenderaan berat berkenaan akhirnya berjaya ditahan ketika sedang berhenti bersebelahan Sekolah Kebangsaan Marian Convent, Setapak.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan sudah diubah suai dengan pemasangan empat tangki jenis IBC berkapasiti 1,000 liter setiap satu di bahagian belakang, selain dilengkapi dengan pam penyedut yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel dari tangki asal ke tangki tambahan,”katanya.
Susulan penemuan itu, pemandu lori yang juga lelaki warganegara Malaysia berumur lingkungan 20-an ditahan untuk siasatan lanjut. Individu terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen sah bagi mengendalikan, menyimpan, serta memiliki barang kawalan berjadual jenis bahan api berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai nilai rampasan, Mohd Shahran berkata, keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM52,000 membabitkan sebuah motolori jenama Nissan Diesel, empat unit tangki IBC, dua unit pam penyedut, hos penyambung, telefon bimbit serta 3,500 liter diesel. Minyak diesel yang disita itu dianggarkan bernilai RM17,920 mengikut harga tanpa subsidi atau RM7,525 bagi harga subsidi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 10, Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika disabitkan kesalahan, pesalah individu berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
“KPDN WPKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




