am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis mengesahkan seramai enam individu cedera termasuk seorang patah kaki dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di simpang empat lampu isyarat Jalan Bukit Cerakah/Jalan Seri Jaya, Meru, Klang dekat sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Pemangku Superintendan Mohd Rahimi Zainol berkata, pada jam 10 pagi tadi pihaknya menerima aduan mengenai kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu dua buah kereta dan dua buah lori di Jalan Bukit Cerakah menghala ke Jalan Seri Jaya.
“Hasil siasatan awal dijalankan, polis mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8.57 pagi, apabila lori yang membawa muatan tanah menuruni bukit hilang kawalan sebelum terbabas dan menggelongsor ke kanan lalu melanggar ketiga-tiga kenderaan yang berada di laluan kanan.
“Siasatan mendapati, seramai tujuh individu terbabit dalam kemalangan ini. Semua mangsa dihantar ke hospital berlainan iaitu Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Mohd Rahimi berkata, siasatan mendapati pemandu lori yang membawa muatan tanah itu adalah lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dan sudah dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian kemalangan ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Surihan di talian 013-2082327 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, kejadian kemalangan yang tular di media sosial itu menarik perhatian warga maya apabila beberapa video dan gambar lokasi kejadian dan keadaan mangsa diulang siar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




