am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pemandu lori patah kaki kanan selepas kenderaan dipandunya terbabas dan masuk ke dalam longkang di Kilometer 419.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), susur Tol Bukit Tagar arah Utara, Hulu Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang.
“Lori yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu membawa muatan sampah dari tempat pelupusan Taman Beringin, Batu Caves ke tapak pelupusan Bukit Tagar.
“Setibanya di lokasi, pemandu disyaki hilang kawalan dan terbabas ke kanan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi.
Ibrahim berkata, akibat kemalangan itu muatan sampah berselerak jatuh atas jalan raya arah Utara menuju Tol Bukit Tagar.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan pihak bomba.
“Dia dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



