am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Lori sampah yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 419.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, di sini dipercayai terbabas ketika melalui selekoh.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata, ketika kejadian kenderaan berat itu dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama dua kelindan berusia 24 dan 32 tahun.
“Siasatan awal mendapati lori sampah itu dalam perjalanan dari Sungai Besi, Kuala Lumpur ke tempat pembuangan sampah Bukit Tagar.
“Setibanya di lokasi, kenderaan terbabit hilang kawalan sehingga merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbalik.
“Lori itu kemudian menghempap kelindan lori berusia 24 tahun yang berada di tempat duduk penumpang sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Manimaran berkata, seorang lagi kelindan yang berada di tempat tidur lori cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, akibat kemalangan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




