Lori terbabas, 2 warga Bangladesh maut, seorang parah

Lori terbabas, 2 warga Bangladesh maut, seorang parah

am@hmetro.com.my

Rompin: Dua warga Bangladesh maut manakala seorang rakan mereka parah selepas lori muatan racun dinaiki terbabas serta terbalik di Jalan Felda Selancar-Felda Redong, dekat Kampung Perwira Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, nahas berlaku jam 2:25 petang selepas lori terbabit dipercayai hilang kawalan ketika memotong sebuah kereta.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali Md Kader, 34, dan Md Dalim,30, bekerja sebagai buruh ladang sawit.

Menurutnya, ketika kejadian lori dipandu seorang lelaki warga Bangladesh dan tiada lesen memandu dalam perjalanan dari arah Felda Redong ke Felda Selancar.

“Hasil siasatan mendapati ketika tiba di lokasi pemandu lori terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kereta.

“Bagaimanapun lori hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan serta terbalik,” katanya.

Sharif Shai berkata, akibat kemalangan itu penumpang depan dan seorang penumpang belakang lori terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berusia 44 tahun tidak tercedera manakala seorang lagi penumpang belakang dilaporkan parah dan sedang dirawat di Hospital Segamat, Johor.

“Polis sudah melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori terbabit.

“Pihak polis juga sedang mengesan pemilik lori kerana membenarkan kenderaan itu dipandu warga asing serta tiada lesen memandu,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top