rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengaktifan lorong pintar (SmartLane) di lebuh raya memang membantu mengurangkan kesesakan melalui penambahan kapasiti laluan pada waktu puncak, namun disalah guna segelintir pengguna jalan raya termasuk kenderaan berat.
Pengasas Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK), Datuk Mohammad Hisham Shafe mengakui berlaku ‘konflik’ kemasukan semula kenderaan dari lorong kecemasan ke laluan utama dan boleh menyebabkan kesesakan sekunder.
“Ini memerlukan pengurusan lebih baik seperti penutupan dan pembukaan lorong yang lebih bijak serta papan tanda yang jelas.
“Selain itu, pembukaan SmartLane juga perlu lebih tersusun supaya pemandu lebih berhati-hati dalam pemanduan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Smart Lane merujuk kepada penggunaan bahu jalan atau lorong kecemasan secara terkawal untuk dijadikan sebagai lorong tambahan yang bertujuan menambah kapasiti lebuh raya bagi menyuraikan aliran trafik semasa berlaku kesesakan atau kemalangan.
SmartLane dilaksanakan PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Ketika laluan itu diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan.
Sementara itu, ditanya sama ada langkah pelebaran lebuh raya akan dapat mengatasi kesesakan terutama pada waktu puncak dan musim perayaan, Mohammad Hisham berpendapat langkah itu hanya diperlukan di kawasan tertentu dan kritikal.
Bagaimanapun, katanya kerajaan melalui pihak berkuasa dan syarikat konsesi lebuh raya perlu lebih menumpukan kepada penyelesaian berteknologi dan laluan alternatif bagi mengelak fenomena ‘permintaan teraruh’ (lebih banyak lorong dibuka, lebih banyak kenderaan akan masuk dan keluar semula).
“Kunci paling utama untuk mengelak kesesakan bukan sekadar pada infrastruktur, tetapi perancangan bijak dan kesabaran serta sikap pemandu sendiri.
“Ingatlah jalan raya adalah milik bersama. Sikap bertimbang rasa dan mematuhi peraturan bukan sahaja dapat mengelakkan kesesakan, malah menyelamatkan nyawa,” katanya.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya menjaga adab ketika memandu dan mengutamakan keselamatan di jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




