LRT laluan Mutiara: Semakin panjang jajaran, semakin mahal kos – Anthony Loke

LRT laluan Mutiara: Semakin panjang jajaran, semakin mahal kos – Anthony Loke

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Jajaran laluan projek transit aliran ringan (LRT) laluan Mutiara yang semakin panjang dari bahagian Pulau hingga menyeberangi Seberang Perai sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan semakin bertambah dan mahal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ketika rundingan awal pelaksanaan LRT itu ia hanya ingin dilaksanakan di bahagian Pulau sebelum kerajaan pusat memutuskan mengambil alih projek berkenaan.

“Perdana Menteri sendiri mengarahkan supaya LRT ini sambung sampai ke Penang Sentral yang masa saya berunding berbincang dengan beliau (rundingan awal) saya tak berani minta tambahan.

“Saya kata, biar federal (kerajaan pusat) ambil alih dekat Pulau pun kita sudah cukup happy (gembira) tapi Perdana Menteri, orang Pulau Pinang.

“Dia (Anwar) kata ‘saya anak Permatang Pauh, anak Cherok Tokun, kalau buat dekat Pulau sahaja macam mana saya nak balik kampung’, jadi kena sambung sampai Penang Sentral.

“Saya tidak mempunyai masalah, malah saya kata sebagai Menteri Pengangkutan lagi panjang jajaran lagi bagus cuma selalunya Menteri Kewangan tak akan setuju sahaja, sebab lebih panjang lebih mahal,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang di Juru, di sini, hari ini.

Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian di hadapan lebih 700 perwakilan yang hadir bagi menyangkal pandangan segelintir ahli politik pembangkang termasuk Ahli Parlimen yang datang dari Pulau Pinang yang menyatakan projek LRT tidak diperlukan rakyat Pulau Pinang sedangkan ia dinantikan sejak lebih 10 tahun lalu.

Anthony berkata, beliau terkilan dengan Ahli Parlimen dari Pulau Pinang yang sepatutnya menyokong projek itu demi kebaikan rakyat namun mengatakan LRT tidak diperlukan.

“Ahli Parlimen lain nak cakap saya tak kisah tapi ini Ahli Parlimen daripada Pulau Pinang sendiri cakap ‘Orang Pulau Pinang tak nak LRT’.

“Mana ada satu Ahli Parlimen yang tak mahu kemajuan untuk negeri sendiri? Betul LRT belum sampai Permatang Pauh tapi ini (cakap) pakai otak sikit. Inilah cara pembangkang nak sabotaj Pulau Pinang sendiri.

“Apabila ada LRT menghubungkan Perai dengan Pulau ini akan mengintegrasikan ekonomi antara Seberang Perai dengan Pulau yang ia akan naikkan seluruh infrastruktur.

“Jadi saya harap, saudara dan saudari, kita mesti ada keyakinan. Ini visi kita yang visi ini cukup indah untuk Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata,pihaknya akan membuat kajian terperinci sama ada untuk memanjangkan jajaran LRT di kawasan Seberang Perai yang lain.

Untuk rekod, anggaran asal kos pelaksanaan Projek LRT Bayan Lepas di Pulau Pinang adalah RM10 bilion pada 2016, berdasarkan jajaran dari Pulau Silikon ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan pada awal 2024 membuat keputusan untuk mengambil alih projek itu, yang kini dikenali sebagai LRT Laluan Mutiara, dengan jajaran yang dilanjutkan dari Macallum ke Penang Sentral melibatkan kos RM16.8 bilion

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top