SHAH ALAM – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengarahkan pihak pengendali mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin secepat mungkin.
APAD berkata, laporan itu akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadian.
Agensi itu memaklumkan, langkah terbabit juga diambil bagi menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Selain itu, siasatan turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715 termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada awal pagi Khamis, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan laluan berkenaan.
Susulan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas dengan kadar segera untuk menyiasat secara menyeluruh punca kejadian tren LRT tergelincir daripada landasannya berdekatan Stesen Chan Sow Lin.
APAD memberitahu, agensi itu memandang serius insiden tren LRT tergelincir landasan yang berlaku berhampiran stesen berkenaan pada pagi Khamis.
Justeru, menurutnya, pemeriksaan tapak telah dijalankan sejurus kejadian berlaku bagi menilai keadaan awal insiden dan memastikan tindakan segera diambil oleh pihak pengendali.
“Pemeriksaan tapak pertama telah diketuai oleh Ketua Pengarah APAD bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, sesi pemeriksaan tapak kedua turut diadakan pada jam 3 petang melibatkan wakil MOT bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi dan langkah-langkah susulan perlu dilaksanakan pihak pengendali.
APAD berkata, selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, pihaknya telah membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden itu secara menyeluruh.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren,” tambahnya.
APAD turut menegaskan keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam merupakan perkara yang tidak boleh dikompromikan dalam apa jua keadaan.
Kongsinya, siasatan akan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan menyeluruh serta segala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“APAD akan terus bekerjasama rapat dengan MOT serta agensi berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan dan keyakinan orang awam terhadap sistem pengangkutan awam rel sentiasa terpelihara,” tambah kenyataan berkenaan.



