LRT3 berjalan lancar, MRCBGK kekal pelaksana projek – Prasarana

LRT3 berjalan lancar, MRCBGK kekal pelaksana projek – Prasarana

bhbiz@nstp.com.my

SAUJANA PUTRA: Pembinaan projek LRT Laluan 3 (LRT3) berjalan lancar dan MRCB George Kent (MRCBGK) kekal sebagai rakan pelaksana projek berkenaan, kata Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Kenyataannya itu sekali gus menafikan spekulasi bahawa Prasarana akan mengambilalih pegangan George Kent dalam perkongsiannya dengan kumpulan MRCB.

Tajuddin berkata, meskipun berdepan dengan kekangan kerana pandemik COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun lalu, projek itu tetap berjalan lancar.

Beliau berkata, sehingga 28 Februari 2021, sebanyak 49.22 peratus projek sudah disiapkan.

“Kita adalah ‘on-track’ untuk menyiapkan projek ini menjelang 28 Februari 2024,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja meninjau kemajuan projek LRT3 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah dan Timbalan Ketua Projek LRT3 Prasarana, Mohd Lokman Hamid.

Tajuddin juga mengucapkan syabas dan tahniah kerana MRCB-GK atas dedikasi dan komitmen mereka untuk menjayakan projek itu.

Beliau berkata, projek LRT3 sememangnya amat penting dalam transformasi sistem pengangkutan awam negara.

Katanya, projek LRT3 itu bukan saja akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dari Kuala Lumpur ke Klang; tetapi juga mempunyai kesinambungan dengan Laluan MRT dan LRT Laluan Kelana Jaya.

Apabila siap kelak, LRT3 akan memanfaatkan lebih dua juta penduduk di kawasan yang dilaluinya dan bakal mengendalikan kira-kira 67,000 penumpang sehari pada peringkat permulaan sebelum terus bertambah khususnya dengan sistem rel urban ‘Greater Klang Valley’ siap sepenuhnya.

Ia adalah projek pertama di Malaysia yang menggunakan blok ‘U-trough girder’ yang berukuran di antara 20 meter dan 30 meter seunit, dengan komponen pembinaan yang akan dipra-bina terlebih dulu di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top