LTAT agih bubur lambuk, bantuan kewangan kepada anggota

LTAT agih bubur lambuk, bantuan kewangan kepada anggota

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terus memperkasa kebajikan anggotanya apabila mengagihkan bubur lambuk dan menyumbang bantuan kewangan kepada kira-kira 17 anggota serta ahli keluarga anggota yang mengalami masalah kesihatan.

LTAT menerusi pasukan sukarelawan Jalinan Wira terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diwujudkan sejak tahun lalu berganding bahu menyediakan lebih 1,600 pek bubur lambuk dalam dua majlis berasingan pada 13 Mac dan semalam.

Majlis yang diadakan di Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak itu adalah antara usaha menyantuni warga ATM yang komited mempertahankan sempadan serta perairan negara.

Pengagihan bubur lambuk oleh pasukan sukarelawan berkenaan turut disertai Pengerusi LTAT Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Eksekutifnya, Mohammad Ashraf Md Radzi yang turun padang menyantuni warga ATM.

Mohammad Ashraf berkata, inisiatif itu adalah salah satu usaha warga LTAT untuk menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota ATM yang tanpa henti tetap teguh menjalankan tugas demi menjaga keselamatan negara walaupun dalam bulan Ramadan serta Syawal.

“Warga kerja LTAT menunjukkan dedikasi luar biasa dalam melangkaui tanggungjawab harian mereka untuk terbabit secara langsung dengan pencarum.

“Kami komited untuk meluangkan lebih banyak masa sebagai sukarelawan di luar tugas rasmi termasuk penyediaan bubur lambuk seperti ini, selain membantu veteran ketika bencana banjir atau pemeliharaan alam sekitar.

“Inisiatif ini bukan sekadar program biasa tetapi komitmen berterusan untuk membalas jasa mereka yang mengabdikan hidup untuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, LTAT akan terus memperkukuhkan komitmen terhadap kebajikan jangka panjang wira negara bagi memastikan khidmat bakti, pengorbanan dan dedikasi mereka sentiasa dihargai serta dikenang.

Sehingga kini, katanya, pasukan sukarelawan Jalinan Wira sudah mencatatkan lebih 1,300 jam sukarelawan membabitkan seramai 170 warga kerja LTAT.

Pada dua majlis berkenaan juga, LTAT turut menganjurkan taklimat celik kewangan bagi memberi pendedahan kepada anggota ATM mengenai pengurusan kewangan, perlindungan sosial serta manfaat persaraan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top