MANUELA Tarozzi mengejutkan ramai pakar pecut ketika memenangi perlumbaan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu kerana wakil dari VF Group-Bardiani CSF-Faizane itu sebenarnya adalah pelumba ‘all-rounder’.
Bermulanya edisi kali ini pada 28 September hingga 5 Oktober depan, pelumba berusia 27 tahun kelahiran Faenza, Itali itu akan sekali lagi menjadi taruhan terbaik pasukan ProTeam dari Itali itu untuk membuat kejutan.
Kali ini, selain beberapa peringkat landai, laluan Peringkat 5 dari Temerloh ke Bukit Fraser juga dilihat amat cocok dengan pelumba yang turut mempunyai kemahiran mendaki itu untuk mencabar jersi hijau individu keseluruhan tajaan Petronas.
Tarozzi yang sudah dua kali berkayuh di Giro d’Italia dilihat berada pada tahap kecergasan yang baik sepanjang musim ini apabila memenangi gelaran Raja Bukit Tirreno Adriatico awal tahun ini dan di tangga keempat klasifikasi Raja Bukit Giro pada Mei lalu.
Dua lagi rakan sepasukan skuad kendalian Mirko Rossato itu yang dijangka membantu pemburuan jersi hijau Tarozzi ialah Luca Covili dan Alex Tolio.
Covili, 28, tidak asing dalam perlumbaan di Asia kerana pernah bersama Bardiani pada LTdL23, manakala Tolio, 25, turut berlumba di Tour of Qinghai Lake 2025 yang menyaksikannya menduduki tangga keenam klasifikasi individu keseluruhan.
Mengetuai cabaran Bardiani di enam laluan landai LTdL25 nanti ialah Mattia Pinazzi, Enrizo Zanoncello dan Lorenzo Conforti.
Pinazzi yang mengumpul tiga kali kedudukan keempat pada tahun lalu pasti mahu berdiri di podium kemenangan tahun ini, selain Zanoncello, bekas pelumba Cofidis yang turut beraksi di Giro tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, Bardiani yang menjadi antara pasukan paling kerap beraksi di LTdL, pastinya mahu mengembalikan dominasi pasukan itu dalam jelajah terunggul Asia ini, seperti yang mereka lalukan hampir 20 tahun lalu.
“Pasukan yang ditubuhkan pada 1982 ini pernah hadir dengan nama Scrigno-Gaerne, Ceramica Panaria, Colnago CSF dan Green Project-Bardiani sebelum ini tetapi ramai yang masih ingat dengan dominasi mereka pada LTdL2005 apabila memenangi tujuh daripada 10 peringkat ketika itu.
“Dengan Graeme Brown (5 peringkat) dan Guillermo Bongiorno (2 peringkat), peminat lumba basikal di negara ini juga pasti teringat ‘keretapi oren’ pasukan itu yang bergerak laju hingga menyukarkan mana-mana pasukan lain untuk mengambil alih kedudukan di depan kelompok besar ketika menghampiri garisan penamat.
“Tiga pelumba yang berkebolehan untuk memecut, tidak mustahil Bardiani mampu mengulangi aksi yang sama dan mengumpul beberapa kemenangan peringkat pada perlumbaan tahun ini,” kata Emir dalam satu kenyataan pada Khamis.
Edisi ke-29 LTdL yang melibatkan lapan peringkat perlumbaan akan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di hadapan KLCC, menyusuri laluan di semua 12 negeri di Semenanjung Malaysia, membabitan jarak keseluruhan 1,243.5km.
LTdL25 yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).