Kuala Lumpur: Business & TVET Institute (KLTVET) menyasarkan untuk melahirkan lebih 400 graduan melalui laluan Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) pada tahun depan bagi memperluas akses pendidikan tinggi berasaskan pengalaman kerja dan kemahiran industri.
Presiden KLTVET merangkap Presiden Majlis Integrasi Pendidikan Negara (MIPN), Prof Is Dr Zam @ Ab Razak Zamri berkata, inisiatif pendidikan seperti RPEL perlu diperkasa kerana ia memberi peluang kepada golongan bekerja, usahawan dan individu tanpa kelayakan akademik konvensional untuk memperoleh pengiktirafan formal.
Katanya, melalui pendekatan 3K iaitu konsultasi, komunikasi dan kolaborasi, pihaknya melihat RPEL sebagai laluan strategik untuk memperkasa modal insan berasaskan kemahiran dan pengalaman sebenar industri.
“KLTVET turut melakar pencapaian di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama dengan European Education Board yang diiktiraf oleh United Kingdom Register of Learning Provider, sekali gus membuktikan kualiti, integriti dan kebolehterimaan global institusi ini.
“Kini, KLTVET beroperasi di bawah kelolaan MINP selaras aspirasi menyatukan pendidikan akademik dan Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam satu ekosistem yang inklusif, progresif dan berorientasikan industri,” katanya.
KLTVET yang ditubuhkan pada 2022 sudah melahirkan lebih 1,200 graduan RPEL setakat ini merangkumi lebih 150 bidang, termasuk pentadbiran perniagaan, mekanikal, perhotelan, seni, pertanian, pelancongan dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, kelebihan utama Diploma RPEL KLTVET ialah kebolehterimaan tinggi dalam industri memandangkan graduannya memiliki pengalaman dan kepakaran sebenar dalam bidang masing-masing.
“Mereka bukan graduan tanpa pengalaman, sebaliknya profesional, usahawan, pekerja berkemahiran dan pemimpin komuniti yang terbukti keupayaannya di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, graduan juga berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan bersama University of Malaya Wales secara Open and Distance Learning (ODL) yang mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Antara kelebihan utama RPEL individu berumur 18 tahun ke atas, termasuk yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menukar pengalaman kerja dan kemahiran kepada kelayakan akademik melalui penilaian portfolio dan amali dalam tempoh sekitar tiga bulan.
“Ramai graduan kami sudah bekerja atau memiliki perniagaan sendiri menjadikan RPEL sebagai laluan alternatif tanpa perlu melalui sistem pendidikan konvensional sepenuhnya, apatah lagi mereka yang sudah berusia dan memiliki pengalaman industri bertahun,” katanya.
Terkini, Zam berkata, KLTVET juga mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaya-Wales, di mana Graduan RPEL yang memenuhi syarat yang ditetapkan layak untuk menyambung pengajian ke Ijazah Sarjana Muda dalam bidang International Business secara Pembelajaran Terbuka Jarak Jauh (ODL).
“Program Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia-Wales ini adalah berakreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan ini antara pencapaian tertinggi KLTVET setakat ini.
“Kami juga berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi akan tampil untuk bekerjasama dengan KLTVET dalam membuka lebih banyak laluan pendidikan alternatif,” katanya.
KLTVET optimis sasaran graduasi yang lebih besar pada tahun depan bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap RPEL, malah menyokong Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pembelajaran fleksibel dan akses pendidikan untuk semua lapisan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




