Luahan sayu Marissa Dania undang simpati ramai

Luahan sayu Marissa Dania undang simpati ramai

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Anak kepada pasangan selebriti, Marissa Dania Hakim, 20, sekali lagi mencuri perhatian netizen selepas memuat naik hantaran berbaur luahan perasaan di Threads, hari ini.

Menerusi hantaran itu, Marissa mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang masih membangkitkan isu-isu lama sebelum perkahwinannya, meskipun dia mendakwa tidak lagi melakukan sebarang kesilapan selepas bergelar isteri.

“Adakah wajar untuk terus membangkitkan perkara-perkara sebelum perkahwinan sedangkan saya tidak melakukan apa-apa selepas itu? Yang mana saya sendiri akui sebagai salah dan khilaf,” katanya.

Apa yang lebih mengejutkan, Marissa turut mendedahkan bahawa dia tidak menerima hak sebagai seorang isteri yang sepatutnya. Meskipun begitu, dia memilih untuk mendiamkan diri dan tidak menuntut perkara itu secara terbuka sebelum ini.

“Malah, saya tidak mendapat hak sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya, seadilnya, dan saya juga tidak menuntut apa-apa mahupun berkata apa-apa,” katanya.

Di penghujung luahannya, Marissa sempat menitipkan soalan mengenai tindakan segelintir individu yang sanggup mendedahkan keburukan orang lain semata-mata untuk meraih sokongan orang ramai.

Hantaran berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ada yang bersimpati dan ada juga yang terus mengkritik tindakan masa lalunya.

Terdahulu, kemelut rumah tangga Marissa sering menjadi perhatian umum selepas dia dikhabarkan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, sehingga mencetuskan pelbagai kontroversi berpanjangan.

Menerusi perkahwinan itu, Marissa bergelar isteri kedua memandangkan Aslam masih berstatus suami kepada pempengaruh, Umisya Mazlan.

Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai Aslam yang didakwa pernah melafazkan dua kali cerai dan berlaku dua kali rujuk terhadap Marissa pada 2024 dan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top