ALOR SETAR: Kerajaan bertekad memastikan penduduk luar bandar tidak terus ketinggalan dalam arus digital termasuk meningkatkan liputan 5G yang lebih menyeluruh hingga ke pelusuk desa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, capaian internet berkelajuan tinggi bukan lagi satu kemewahan, tetapi keperluan asas dalam era pendidikan dan ekonomi digital yang menjadi hak semua rakyat negara ini.
“Di kawasan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), FELCRA dan kawasan kampung lain pun perlu ada 5G, kita berazam untuk meluaskan liputan ini ke kawasan desa. Di kampung pun anak-anak perlukan internet laju, mereka perlu untuk pembelajaran dan keusahawanan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Jawatankuasa Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P) dan Belia Luar Bandar KEDA di sini, hari ini.
Kata beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital untuk menyelaras pembangunan infrastruktur telekomunikasi di kawasan luar bandar yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin desa supaya tidak hanya duduk selesa di pejabat, sebaliknya perlu menyantuni rakyat dan merasai sendiri realiti kehidupan mereka.
“Kita mesti jadi pemimpin yang ada di tengah masyarakat, bukan hanya di atas kertas. Keluhan rakyat perlu kita dengar sendiri, bukan hanya melalui laporan yang dihantar ke pejabat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa integriti dalam pentadbiran desa adalah tiang seri utama kepada kejayaan sesuatu komuniti kerana kepimpinan tanpa amanah umpama rumah tanpa tiang yang akan runtuh apabila diuji.
Katanya, setiap bantuan dan peruntukan kerajaan mesti diuruskan dengan penuh tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat desa, dan bukan untuk kepentingan peribadi. – UTUSAN