Lubnan berusaha hentikan perang Israel

Lubnan berusaha hentikan perang Israel

Beirut/Istanbul: Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam pada Ahad berkata kerajaannya sedang berusaha menamatkan perang Israel ke atas Lubnan dan memastikan pengunduran Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Berucap pada sidang media di Beirut, Salam berkata kerajaannya akan terus “berusaha menamatkan perang, memastikan pengunduran Israel dari seluruh wilayah kami dan menjamin kepulangan semua tahanan kami.”

Kenyataan beliau dibuat menjelang ulang tahun tercetusnya perang saudara Lubnan pada 1975 yang berlarutan selama 15 tahun, mengorbankan 150,000 orang, mencederakan 300,000 yang lain dan menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

Salam berkata kerajaannya meneruskan usaha membina semula kampung dan bandar yang musnah akibat serangan Israel serta membolehkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kawasan mereka.

“Selatan tidak akan dibiarkan sekali lagi berdepan ketakutan, kemusnahan dan kebimbangan terhadap masa depannya.

“Perlindungannya, seperti perlindungan seluruh Lubnan, hanya boleh dicapai menerusi sebuah negara yang tunggal, kuat dan adil,” tegas perdana menteri itu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu berkata Israel akan meningkatkan operasi di Lubnan dan tidak akan bersetuju untuk berunding melainkan Hizbullah dilucutkan senjata serta satu perjanjian damai “yang berkekalan untuk beberapa generasi” dicapai.

Peningkatan ketegangan itu berlaku ketika presiden Lubnan pada Jumaat berkata Beirut dan Israel bersetuju mengadakan pertemuan pertama mereka di Washington pada 14 April, satu langkah yang dikecam Hizbullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top