Lubnan: Israel ugut mulakan operasi serangan darat

Lubnan: Israel ugut mulakan operasi serangan darat
Asap berkepul-kepul di penempatan penduduk dalam kawasan selatan Lubnan berikutan serangan Israel, di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan yang berterusan antara Hizbullah dan tentera Zionis Israel, seperti yang dilihat dari bandar Tyre pada 25 September 2024. (FOTO: Reuters)
– Advertisement –

BEIRUT/BAITULMAQDIS: Tentera Zionis Israel mengugut akan menyerang Lubnan melalui darat, susulan tindakan balas serangan pejuang Hizbullah melakukan serangan balas terhadap Tel Aviv.

Ketua tentera Israel dalam kenyataannya pada lewat Rabu berkata,  tentera Zionis sedang menyediakan perancangan bagi kemungkinan melancarkan operasi serangan darat atas alasan memerangi Hizbullah, lapor Reuters.

Negara haram itu telah meluaskan serangan udaranya di Lubnan pada Rabu dan Menteri Kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 223 cedera dalam serangan sepanjang tempoh 24 jam pada Rabu.

– Advertisement –

Terdahulu, tentera Zionis Israel didakwa telah menembak jatuh peluru berpandu yang dikatakan dilancarkan Hizbullah yang disasarkan ke ibu pejabat agensi perisikan Mossad berhampiran bandar terbesar Israel, Tel Aviv.

Pegawai tentera  Israel, Jeneral Herzi Halavi bagaimanapun mendakwa peluru berpandu itu telah menuju ke kawasan awam di Tel Aviv, bukan Ibu Pejabat Mossad, sebelum ia ditembak jatuh.

Sementara itu, dua sekutu Israel – Amerika Syarikat dan Perancis menyatakan kebimbangan bahawa konflik Israel-Hizbullah yang kini berjalan selari dengan perang genosid Israel di Semenanjung Gaza terhadap pejuang Islam Palestin Hamas, kini semakin meningkat dengan cepat apabila angka kematian di Lubnan bertambah dan beribu-ribu penduduk telah meninggalkan kediaman mereka, terutama di selatan Lubnan dan wilayah di Lembah Bekaa.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata Washington dan sekutunya kononnya sedang bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mengelakkan perang besar-besaran antara Israel dan Hizbullah, dan mengatakan bahawa ia tidak akan berputus asa sehingga perang di Semenanjung Gaza berakhir.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula berkata, beliau telah menghantar menteri luarnya ke Lubnan minggu ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghentikan perang Israel-Lubnan daripada meletus.

“Tidak boleh, tidak boleh ada perang di Lubnan,” katanya dalam ucapan pada Rabu pada mesyuarat tahunan 193 anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Tiada kemajuan usaha AS-Perancis elak perang

Sementara Reuters melaporkan tiga sumber daripada Israel sebagai berkata, tiada kemajuan ketara telah dibuat di Perancis-AS dalam usaha mengelakkan perang Lubnan-Israel itu.

Serangan udara Israel minggu ini telah menyasarkan pemimpin Hizbullah dan melanda ratusan tapak jauh di dalam Lubnan, lokasi di mana ratusan ribu orang awam telah melarikan diri dari kawasan sempadan, manakala Hizbullah pula telah melancarkan roket bertubi-tubi ke bumi haram, Israel.

Pada hari Rabu juga, Israel berkata pesawat pejuangnya menyerang selatan Lubnan dan Lembah Bekaa yang didakwa merupakan kubu kuat Hizbullah lebih jauh ke utara, dan bahawa ia sedang menguruskan dua lagi briged simpanan untuk operasi di sempadan utara Israel.

Dalam mesej video yang tidak mengulas mengenai usaha diplomatik untuk mendapatkan gencatan senjata, Perdana Menteri Israel,  Benjamin Netanyahu berkata, Hizbullah akan diserang lebih keras daripada yang dibayangkan.

Sementara itu, hospital Lubnan telah dipenuhi dengan mangsa yang cedera sejak Isnin lalu, apabila pengeboman Israel mengorbankan  lebih 550 nyawa.

Terdahulu, Hizbullah berkata ia telah menyasarkan peluru berpandu ke ibu pejabat Mossad ‘untuk menyokong rakyat Palestin yang tabah di Semenanjung Gaza … dan untuk mempertahankan Lubnan dan rakyatnya’.

Ia menyalahkan Mossad atas pembunuhan pemimpinnya di samping menuduh agensi perisikan negara haram itu telah memerangkap menggunakannperanti alat kelui dan ‘walkie talkie’ anggota Hizbullah yang meletup minggu lalu, membunuh 39 nyawa dan mencederakan hampir 3,000 yang lain di seluruh negara itu. 

Serangan dron Kumpulan Penentangan Iraq

Israel bagaimanapun tidak mengesahkan mahupun menafikan penglibatan dalam serangan tersebut, namun sebaliknya berrtindak melakukan serangan udara besar-besaran terhadap Lubnan.

Tentera negara haram itu  telah meluaskan serangan di zon Lubnan yang telah diserang sejak malam Selasa, dengan serangan buat pertama kali ke atas pusat peranginan pantai Jiyyeh, di selatan Beirut.

Ia juga menyerang Bint Jbeil, Tebnin dan Ain Qana di selatan, kampung Joun di daerah Chouf selatan dekat Sidon, dan Maaysrah di daerah Keserwan utara.

Sebanyak setengah juta orang mungkin telah kehilangan tempat tinggal di Lubnan, kata menteri luarnya. 

Di Beirut, beribu-ribu orang yang dipindahkan dari selatan Lubnan berteduh di sekolah dan bangunan lain.

Lebih 60 penduduk telah dipindahkan dari bandar Kristian Alma Chaab, di sepanjang sempadan Israel-Lubnan berikutan serangan berkenaan.

Israel sebaliknya belum mengulas mengenai serangan Kumpulan Penentangan Iraq yang sebelum ini menyasarkan serangan dron di bandar Eilat, di selatan Israel pada Rabu. – Agensi/– HARAKAHDAILY 26/9/2024

– Advertisement –

Scroll to Top