Beirut: Aidilfitri tahun ini suram bagi umat Islam Lubnan apabila krisis pengusiran akibat serangan Israel.
Perayaan yang biasanya meriah itu terjejas akibat perang antara Israel dan kumpulan bersenjata Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah, yang mengheret Lubnan dalam konflik serantau.
Difahamkan, serangan Israel di selatan, timur Lubnan dan Beirut mengorbankan lebih 1,000 orang, manakala lebih sejuta terpaksa meninggalkan rumah mereka.
Di pusat bandar Beirut, rakyat yang dipindahkan cuba melindungi diri daripada hujan lebat sambil berteduh di khemah berhampiran Masjid Mohammad al Amin.
Seorang ibu kepada dua orang anak, Samah Hjola berkata, kenangan Aidilfitri sebelum ini terasa seperti kehidupan yang berbeza.
“Keadaan kami dulu berbeza, kami berada di rumah, anak-anak mempunyai pakaian baharu untuk Aidilfitri.
“Perbezaan besar antara berada di rumah dan berada di khemah atau bas,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa keluarga menaikkan khemah di atas papan kayu supaya tidak kena dengan tanah yang basah.
Lewat pagi Jumaat, jet Israel kedengaran di Beirut, menyebabkan penduduk panik kerana menyangka serangan bom baru berlaku.
Bagaimanapun, di sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan, kumpulan muzik membuat persembahan untuk mengurangkan kesedihan kanak-kanak.
Sukarelawan pula memasak makanan dan memberikan belon kepada kanak-kanak di halaman sekolah.
Di Sidon, keluarga menziarahi kubur orang tersayang, namun ramai kecewa kerana perang menghalang mereka menunaikan tradisi Aidilfitri pada tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




