
Kelihatan api dan asap tebal berikutan serangan udara Israel ke atas Dahiyeh di pinggir selatan Beirut, Lubnan pada Khamis. Foto AP
BEIRUT – Presiden Lubnan, Jeneral Joseph Aoun mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas pinggir selatan ibu negara itu, Beirut, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Aoun menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian antarabangsa serta prinsip asas undang-undang dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta undang-undang kemanusiaan, apatah lagi berlaku menjelang sambutan Aidiladha.
Beliau berkata, serangan itu dengan jelas menunjukkan penolakan pihak penceroboh terhadap keperluan kestabilan, penyelesaian dan keamanan yang adil di rantau itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Media Kepresidenan Lubnan, Aoun turut menyatakan bahawa pelaku kekejaman itu sedang menghantar mesej terutamanya kepada Amerika Syarikat, dasar dan inisiatifnya melalui “peti surat Beirut” dan darah orang awamnya yang tidak bersalah, sesuatu yang tidak akan dituruti oleh Lubnan.
Bagi pihaknya, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam pula mengutuk pencerobohan itu sebagai satu tindakan menyasarkan Lubnan secara sistematik dan sengaja, termasuk keselamatan, kestabilan dan ekonominya, terutamanya pada malam cuti dan musim pelancongan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Lubnan, Salam menegaskan bahawa serangan berkenaan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan dan Resolusi 1701 PBB, sambil menggesa masyarakat antarabangsa agar memikul tanggungjawab untuk menghalang Israel daripada meneruskan serangan dan memaksanya berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan. – Bernama