Lubnan tahan 3 warga asing disyaki "bekerjasama" dengan Israel

Lubnan tahan 3 warga asing disyaki "bekerjasama" dengan Israel

Beirut: Lubnan mengumumkan pada Selasa penahanan tiga warga asing yang disyaki terbabit dalam “aktiviti mencurigakan berkaitan kerjasama” dengan Israel, lapor Anadolu Ajansı (AA).

Penahanan itu dibuat “berdasarkan risikan dan siasatan tepat,” menurut Direktorat Umum Keselamatan Awam dalam satu kenyataan.

Selepas soal siasat yang dijalankan di bawah seliaan badan kehakiman, “individu terbabit mengaku” membekalkan Israel dengan “maklumat sensitif berkaitan keselamatan yang menyumbang kepada kerosakan besar serta mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda di Lubnan,” menurut direktorat itu.

Selepas prosedur undang-undang selesai, kes berkenaan dirujuk kepada pihak kehakiman berwibawa untuk tindakan lanjut selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan kerakyatan mereka yang ditahan.

Penahanan itu berlaku ketika Israel dan kumpulan Lubnan, Hizbullah, kerap berbalas tembakan susulan peningkatan ketegangan serantau.

Sekurang-kurangnya 52 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 150 lagi cedera dalam serangan udara Israel di seluruh Lubnan sejak Isnin.

Ketegangan meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan berskala besar terhadap Iran pada Sabtu, yang dilaporkan mengorbankan hampir 800 orang termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset AS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top