Lucu ada jiwa

Lucu ada jiwa

FILEM: Isan Nikah

PENGARAH: Kriangkrai Monwichit

PELAKON: Nattawut Sanyabut, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Amadkuciasree Doloh, Chatchai Chinnasri dan Adull Borsu

TERBITAN: Monwichit Entertainment

EDARAN DI MALAYSIA: Empire Film Solution Sdn Bhd

ULASAN: Wan Asrudi Wan Hasan

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Naskhah dari Thailand sememangnya mempunyai tarikan sendiri terutama garapan menyentuh jiwa dan sinematografi mempersona.

Sama ada karya bergenre aksi, seram dan komedi kebanyakan mempunyai sentuhan unik dan meninggalkan emosi istimewa buat penonton.

Begitu juga filem Isan Nikah arahan sutradara terkenal dari negara Gajah Putih itu, Kriangkrai Monwichit.

Kriangkrai Monwichit sebelum ini pernah popular menerusi filem seram Islamik, Khong-Khaek: The Djinn’s Curse yang berjaya melakar sejarah sendiri apabila meraih kutipan pecah panggung di negara terbabit beberapa tahun lalu.

Bagi naskhah Isan Nikah ia mengangkat genre komedi Islamik berkisar kepada percintaan berbeza agama antara Bak Kai, lelaki dari Isan daerah timur Thailand dan Sophia gadis Muslim dari Pattani (selatan Thailand).

Demi menikahi Sophia, Kai sanggup memeluk Islam, namun konflik timbul apabila abang Sophia, Bang Lee tidak merestuinya dan berusaha keras menggagalkan perkahwinan mereka.

Watak Bang Lee disamping rakan rapatnya dalam naskhah ini ternyata menghidupkan suasana dengan dialog lucu dan gelagat yang sukar dijangka.

Jalan cerita filem ini agak santai dan sarat dengan elemen humor, diserikan pula dengan nilai kekeluargaan yang menyentuh hati.

Penonton pastinya tidak kering gusi ketika menonton filem yang berdurasi lebih satu jam 40 minit itu.

Elemen kekeluargaan selain kebudayaan negara Thailand yang diketengahkan pasukan produksi Monwichit Entertainment membuatkan karya berkenaan ada tarikan tersendiri.

Jenaka lawak ‘dewasa’ atau berbau lucah yang diselitkan dalam filem ini juga tidak keterlaluan.

Secara keseluruhan filem yang mula ditayangkan di pawagam sejak 17 Julai lalu ini mempunyai campuran pelbagai elemen walaupun santai, tapi ada jiwa selain bersandar pada elemen lucu dan mesej tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top