harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan melucuthak jentera berat dan membatalkan lesen operasi syarikat yang menggajikan pemandu warga asing (PEWA) adalah satu langkah drastik tepat pada masanya.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya memuji dan menyokong penuh tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu.
“Tindakan tegas JPJ ke atas pemandu kenderaan perdagangan warga asing wajar dipuji dan bagi saya sudah sampai masanya tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas warga asing terbabit.
“Kita nak pastikan undang-undang sedia ada dikuatkuasakan tanpa kompromi, kerana undang-undang hanya membenarkan warga tempatan sebagai pemandu kenderaan perdagangan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, beliau berharap setiap aspek penguatkuasaan dapat digerakkan oleh semua agensi berkenaan bagi menangani isu memandu warga asing bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Katanya, setiap hari berlaku kemalangan justeru tindakan drastik dan tegas ini wajar diambil oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, majikan juga harus sedar bahawa mereka perlu bertanggungjawab dan tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan perdagangan.
Semalam Harian Metro melaporkan, JPJ akan melucuthak kenderaan perdagangan yang didapati menggunakan pemandu warga asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd