Petaling Jaya: Dalam kehidupan yang serba moden dengan kehebatan teknologi ini, masih wujud wilayah yang mengharapkan pertolongan dan belas kasihan daripada seluruh dunia. Di saat kita mengisi waktu dengan gelak tawa dan kegembiraan, terdapat satu sisi dunia yang hanya terdengar suara rintihan dan jeritan sebagai melodi kehidupan – itulah Gaza dan Sudan. Tempat jiwa yang dilukai dengan peperangan, kelaparan, penyiksaan dan ketidakadilan tanpa henti. Konflik yang terbina ini bukan sekadar kisah perebutan kuasa atau politik, tetapi sebagai isu kemanusiaan yang menguji sejauh mana dunia mampu bertindak dalam menegakkan keadilan bagi mereka yang tertindas. Seperti yang dimaklumi, Gaza memikul beban penjajahan dan pencerobohan tanpa henti, Sudan pula terperangkap dalam perang saudara. Walaupun ia merupakan dua tempat yang berbeza, namun mereka berpaut pada tali nasib yang sama, ditinggalkan dalam penyiksaan yang berpanjangan.
Gaza: Tanah yang berterusan berdarah
Rakyat Gaza hidup berjalan di atas runtuhan bangunan-bangunan yang dimusnahkan oleh rejim zionis. Bumi sekecil 365 kilometer persegi itu menjadi simbol penderitaan zaman moden yang telah bermula sejak berkurun lamanya. Sikit demi sedikit tanah yang dulunya mekar, kini tinggal padang derita dan runtuhan.
Menurut maklumat yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah keseluruhan rakyat yang terkorban meningkat kepada 70,654 orang, manakala 171,095 lagi mengalami kecederaan sejak Oktober 2023. Fakta bahawa angka ini meningkat setiap hari walaupun sudah banyak kali berita gencatan senjata dikeluarkan, membuktikan bahawa tindakan itu hanya sandiwara politik semata-mata. Tindakan yang diambil hanya sekadar retorik untuk menenangkan warga dunia seketika. Bilakah waktu mereka untuk berehat? Tidak ketika tidur, apatah lagi ketika berjaga. Malam atau siang sama sahaja, kerana mereka boleh dikejutkan dengan kedatangan rejim Israel pada bila-bila masa.
Sejak awal, lebih 288,000 keluarga di Gaza sedang mengalami krisis tempat perlindungan, ditambah lagi dengan sekatan Israel terhadap segala bantuan kemanusiaan yang memburukkan lagi keadaan rakyat Gaza. Perubahan cuaca sekarang menjadi cabaran baru buat mereka untuk meneruskan kehidupan. Ratusan khemah teduhan rakyat Gaza rosak dinaiki air dan roboh ditiup angin kencang sehingga ada dilaporkan kematian seorang bayi perempuan yang terdedah dengan hujan lebat di Semenanjung Gaza pada khamis lepas.
Sudan: Negara yang terperangkap dalam perang saudara
Konflik yang bermula sejak April 2023 diantara Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) terus berlaku tanpa henti sehingga menyebabkan lebih dari 40,000 rakyat Sudan maut dan lebih 12 juta orang terpaksa berpindah dari tempat tinggal mereka. Peperangan ini membawa kepada kemusnahan teruk terhadap bandar-bandar besar di Sudan seperti Khartoum, Omdurman dan kawasan Darfur, di mana banyak rumah, hospital, sekolah dan infrastruktur asas musnah akibat serangan udara dan pertempuran darat. Konflik ini juga telah melumpuhkan sistem kesihatan dan pendidikan, meninggalkan penduduk terutamanya kanak-kanak dan wanita dalam keadaan bahaya.
Akibat konflik yang berterusan ini, krisis kemanusiaan rakyat Sudan berada pada tahap yang membimbangkan apabila tiada bekalan makanan, minuman dan perubatan yang mencukupi, pembunuhan besar-besaran dilakukan di tempat terbuka tanpa simpati, penculikan dan penyiksaan orang awam tanpa sebab, kanak-kanak dan wanita menjadi sasaran utama keganasan seksual sehingga ada direkodkan mangsa termuda bagi kes ini berumur satu tahun. Rakyat Sudan tidak terbela nasibnya apabila nyawa dan maruah mereka di musnahkan begitu sahaja seperti tidak berharga di tangan musuh.
Melihat kepada laporan oleh World Health Organization (WHO) sebelum ini, terdapat serangan dron di sebuah tadika dan kawasan sekitarnya yang telah mengorbankan 114 orang terdiri daripada 63 kanak-kanak di Kordofan. Baru-baru ini juga telah dilaporkan satu serangan drone yang mengorbankan 6 orang pengaman Pertubuhan Bang-Bangsa Bersatu (PBB) dari Bangladesh di Sudan. Menurut United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA), serangan itu berlaku apabila sebuah dron menyasarkan Kem Pengaman PBB di Kadugli, ibu negeri Kordofan.
Ikhtibar dan seruan kesedaran
Setiap kali berita tentang serangan di wilayah-wilayah ini tersebar, dunia tersentak seketika, namun tidak lama kemudian, kesedaran itu kembali pudar ditelan arus berita baharu. Bahkan sekarang, beginilah kejadiannya. Dengan gugurnya pemberita, wartawan dan penyampai khabar segala penderitaan yang mereka alami, dunia menjadi sepi dan alpa akan nasib mereka buat seketika. Begitulah kisah rakyat tidak terbela ini yang terus berjuang mempertahankan tanah air mereka walau harapannya dihakis setiap hari. Luka itu tidak pernah sembuh, dan setiap generasi baharu mewarisi trauma yang sama, kehilangan keluarga, tempat tinggal bahkan masa depan.
Walaupun mereka terus percaya, akan waktu dimana pembebasan kezaliman itu tiba, tetapi setiap darah yang menitis dan setiap luka yang diguris itu dirasai mereka pada setiap waktu tanpa henti. Jadi, bangunlah umat manusia, kerana berita yang sampai ini, telah diketahui sejak dulu lagi, dan masih belum selesai perjuangannya. Ia bukan lagi isu peperangan atau penindasan yang melibatkan agama dan bangsa, tetapi telah menjadi isu krisis kemanusiaan bagi mereka yang tidak bersalah, bahkan tahu menahu apa yang dilakukan mereka untuk menerima nasib begini. Tidak perlu melihat akan agama yang kita diikuti atau apa warganegara yang kita dimiliki untuk membantu mereka, menyuarakan ketidakadilan ini kepada dunia khususnya kepada mereka yang memegang kuasa terbesar pengendalian dunia yang sekarang hanya menutup mata sahaja. Moga dengan kesedaran dan keprihatinan semua, penjajahan, peperangan dan kezaliman ini dapat dihentikan seperti yang mereka harapkan.
Oleh: Siti Nuraisyah binti Shahnizam
Mahasiswi Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.



