mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anak kedua pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida iaitu Azeva Natassha Wan Aminuddin, 24, meminta kenalan ibunya agar jangan menziarahi ibunya buat masa ini.
Menurutnya, ibunya perlu mengambil masa untuk berehat sepenuhnya tanpa sebarang gangguan.
“Tolong sesiapa yang nak datang melawat, bukan minggu ini dulu. Mama betul-betul perlukan rehat. Kalau kamu datang, mama kena bercakap, ketawa, nak buat rawatan pun susah sebab kamu tengok.
“Mama tak boleh buat semua itu sebab dada dia masih sakit akibat CPR. Dia tak boleh banyak bercakap atau ketawa, kaki dia pula perlukan fisioterapi, dia tak boleh pakai seluar jadi aurat dia ternampak terutamanya bila lelaki yang datang.
“Lepas itu, yang datang ini pula suka datang dekat-dekat dengan mama, cium, peluk dia, sedangkan luka mama masih terbuka di leher dan tangan, jadi risiko jangkitan sangat tinggi. Janganlah buat macam itu,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram milik ibunya.
Azeva yang juga pelakon dan bekerja di syarikat milik ibunya, A Aida Production turut mengharapkan semua pihak memahami situasi yang dihadapi mereka sekarang.
“Tolong faham, dia satu-satunya ibu yang saya ada. Saya sangat takut kehilangan dia sekali lagi. Doktor pun dah pesan tak boleh lawat, memang tak boleh lawat.
“Saya minta maaf. Saya tahu kamu semua sayang dan risaukan dia, insya-Allah saya akan update di sini untuk kamu.
“Saya sangat hargai doa dan perhatian untuk mama. Harap kamu boleh doakan mama dari jauh buat masa ini, semoga Allah SWT permudahkan segalanya. Terima kasih banyak,” katanya yang mengharapkan pengertian semua pihak.
Terdahulu, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 55, dilaporkan mendapat rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan akibat rebah selepas melakukan fisioterapi pada 25 September lalu.
Dia bagaimanapun mula sedar pada Ahad lalu dan dipindahkan ke wad biasa untuk pemantauan rapi doktor.
Sebelum itu pemilik A Aida Production itu menjalani pembedahan lutut pada Selasa, 23 September lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




