Napoli: Napoli menewaskan AS Roma 1-0 di tempat sendiri menerusi jaringan Romelu Lukaku pada babak kedua awal pagi tadi yang memastikan tiga mata dan kedudukan teratas carta Serie A.
Ia memerlukan 54 minit untuk memecah kebuntuan apabila Lukaku yang beraksi untuk Roma musim lalu menolak bola masuk ke gawang selepas mendapat hantaran rendah Giovanni Di Lorenzo dari jarak.
Napoli kini mengumpul 29 mata selepas 13 perlawanan, satu mata di depan Atalanta, Inter Milan, Fiorentina dan Lazio yang masing-masing menduduki tangga kedua sehingga kelima.
Ia hari mengecewakan buat pengurus Roma Claudio Ranieri yang kali ketiga mengendalikan kelab itu yang kini menduduki tangga ke-12 dengan 13 mata.
“Apabila kami tiba di stadium, kami dapat rasakan yang penyokong menyemarakkan semangat pemain. Kami menang hari ini dan sangat gembira,” kata Lukaku kepada Sky Sport Italia.
“Saya hanya melakukan yang terbaik untuk pasukan. Kami ada proses dan perlu mengharunginya. Kami tahu ia sukar kerana kelab lain menang tetapi kami dapatkan keputusan kami mahukan.”
Dalam perlawanan lain, Fiorentina melebarkan kemenangan kepada tujuh perlawanan Seria A, rekod yang kali terakhir dilakukan kelab itu pada April 1960 dengan kemenangan 2-0 di Como manakala Lazio menang 3-0 ke atas pelawat Bologna.
© New Straits Times Press (M) Bhd




