Lula sah hadir Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini

Lula sah hadir Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini

Rio De Janeiro: Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Berucap pada majlis pembukaan Forum Perniagaan BRICS di sini pada Jumaat, Lula menegaskan komitmennya untuk menghadiri sidang kemuncak serantau itu selepas menerima undangan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan ikhlas kepada Perdana Menteri Malaysia atas undangan ini. Saya akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober ini,” katanya.

Menekankan kepentingan penglibatan secara proaktif, Lula menggalakkan usahawan Brazil bersiap sedia untuk ke Malaysia dengan memanfaatkan sidang kemuncak itu sebagai sebuah platform perniagaan utama.

“Saya mengajak usahawan Brazil supaya bersedia ke Malaysia, mereka yang mahu menjual harus hadir, mereka yang mahu membeli juga harus hadir.

“Jangan hanya menunggu dan mengharap sesuatu akan berlaku,” katanya.

Anwar turut menyampaikan ucapannya bertajuk “Merapatkan Jurang Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan” pada forum itu di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin dan Presiden Gabungan Industri Kebangsaan Brazil (CNI) Ricardo Alban.

Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.

Sidang kemuncak itu akan menjadi perhimpunan pertama ketua negara dan kerajaan negara anggota dan rakan BRICS.

Malaysia secara rasmi memperoleh status Negara Rakan BRICS pada 1 Januari 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top