am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Semua persiapan bahan sudah tersedia, namun dia tidak sempat membuat biskut raya kerana pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” luah Mohd Noor Daud, 57.
Dia adalah bapa kepada remaja perempuan, Aleeya Balqis Mohd Noor, 14, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Gual Tinggi, Rantau Panjang, jam 12.20 tengah malam tadi.
Mohd Noor berkata, dia mengetahui berita kemalangan anak kedua daripada tiga adik beradik itu daripada sahabatnya, sebelum ke lokasi kejadian bersama isteri, Rohayu Abd Rashid, 47.
Katanya, dia hanya dimaklumkan anaknya terbabit kemalangan, namun luluh hatinya sebaik tiba di lokasi melihat sekujur tubuh anak yang sudah tidak bernyawa.
“Saya rasa macam bermimpi melihat anak yang sebelum ini sihat terbaring kaku tidak bernyawa lagi.
“Pemergiannya beberapa hari sebelum Aidilfitri amat memilukan kami.
“Arwah seorang anak yang sangat baik dan paling teruja membuat biskut raya sendiri setiap tahun, malah kali ini dia beriya-iya ingin menyiapkan biskut Cornflakes kesukaannya.
“Sepatutnya, dia mula membuat kuih tengah malam tadi, namun saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, wanita dan remaja perempuan maut apabila motosikal ditunggang dipercayai bertembung di Gual Tinggi, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian, jam 12.20 tengah malam itu, mangsa, Zurini Muhammad Nor, 44 dan Nurul Aleeya Balqis Mohd Noor, 14 yang menunggang motosikal berasingan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mohd Noor berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang selepas solat Jumaat.
“Gelagat dan telatah arwah pasti akan diingati kerana dia disenangi oleh rakan-rakan dan guru selain aktif di sekolah terutama dalam sukan hoki.
“Dari awal pagi tadi ada beberapa orang guru yang datang melawat jenazah.
“Doakan kami sekeluarga kuat menerima takdir ini kerana saya sendiri kehilangan anak yang sangat baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




