Luluh hati lihat jasad anak ditemukan lemas

Luluh hati lihat jasad anak ditemukan lemas

am@hmetro.com.my

Shah Alam: “Walaupun kereta dan motosikal tiada di rumah, saya tak berfikir panjang dan terus berlari sekuat hati untuk melihat keadaan anak,” kata Arijanto Rosdi, 43.

Arijanto bapa kepada Aish Dayyan Rayqal, 9, yang ditemukan lemas dalam kejadian di Jalan Cili Merah, Seksyen 24, di sini semalam.

Turut terkorban rakannya, Che Shazwan Che Irwan Shah, 12.

Arijanto berkata, sebelum kejadian anak ketiga dari lima beradik itu akan pulang ke rumah untuk menghantar beg sekolahnya sebelum keluar bermain.

“Selalunya sebelum Maghrib dia balik. Selepas itu, kami ke masjid untuk menunaikan solat.

“Kebetulan semalam, saya tunggu dia tapi tak balik sehinggalah dua rakannya yang menunggang basikal datang ke rumah dan mengatakan anak lemas.

“Tanpa berlengah, saya berlari ke lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 15 minit dari rumah. Sebaik tiba, anak saya sudah dibawa naik dan luluh hati apabila mengetahui dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam, hari ini.

Arijanto berkata, Aish Dayyan Rayqal tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dikenali sebagai seorang yang rajin serta sering berjemaah di masjid.

“Saya sebenarnya mengharapkan anak selamat sebab rasa macam mimpi.

“Saya cuba panggil dan kejutkan dia berulang-kali. Tetapi Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya sambil menambah reda dengan pemergian arwah.

Dalam pada itu, jenazah kedua-dua kanak-kanak lelaki itu selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 1 petang.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Al Ehsan Seksyen 24 untuk dimandikan dan disolatkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top