Luluh sentuhan Raja Azrey

Luluh sentuhan Raja Azrey

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nama pengarah Raja Azrey, 46, kembali menjadi sebutan apabila menghasilkan iklan raya berjudul Luluh terbitan jenama kecantikan Arora Skincare yang menyentuh perasaan dan meruntun hati penonton.

Menurut Raja Azrey, kejayaan drama pendek Egois tahun lalu yang dihasilkan untuk syarikat terbabit, membuka mata mereka untuk bekerjasama sekali lagi dengannya.

“Saya sebenarnya suka melihat situasi sekeliling dan dari situlah datangnya idea untuk menghasilkan drama bertema realiti kehidupan.

“Saya tak suka hasilkan cerita yang klise dan boleh dijangka kesudahannya. Jadi saya ambil konsep plot twist dan penonton akan terkejut dengan pengakhirannya.

“Luluh dibintangi oleh dua pelakon hebat tanah air, Syafie Naswip dan Aznah Hamid serta dibantu oleh Riez Radzi dan Lina Illina Ismail,” katanya kepada Harian Metro.

Luluh membawakan kisah Iman (Syafie Naswip), seorang anak yang sangat menyayangi ibunya, Mak Leha (Aznah Hamid). Namun, satu keputusan kecil yang diambil tanpa berfikir panjang akhirnya membawa kepada tragedi besar yang mengubah seluruh hidupnya.

“Syafie sangat teruja dapat bekerjasama dengan saya yang dikaguminya sejak kecil. Ia ibarat satu peluang keemasan yang lama dinantikannya.

“Watak yang diterimanya kali ini memberikan cabaran tersendiri dan diharapkan dapat memberi impak besar kepada penonton, khususnya dalam menyampaikan pengajaran yang bermakna sepanjang bulan Syawal.

“Saya mahu penonton bukan sahaja menonton, tetapi turut merasai dan memahami apa yang sedang berlaku di dalam cerita ini. Saya mahu mereka bawa pulang sesuatu selepas menonton,” katanya.

Drama Luluh kini ditayangkan di saluran YouTube Arora Skincare HQ bermula 21 Mac lalu.

Terdahulu pada 2023, Raja Azrey menghasilkan drama Pantang yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top