Lulusan ijazah, lepasan SPM makin mengecil

Lulusan ijazah, lepasan SPM makin mengecil

mahanum_aziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Jurang gaji permulaan antara lulusan ijazah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat semakin mengecil dengan hanya 1.7 kali lebih tinggi pada 2022 berbanding 2.7 kali pada 1997.

Menurut Laporan ‘Trend Gaji Permulaan di Malaysia: Pandangan daripada Pekerjaan Sektor Swasta (1997 hingga 2022)’ yang dikeluarkan PNB Research Institute (PNBRI), ia memperlihatkan pertumbuhan gaji permulaan bagi lulusan pendidikan tinggi menunjukkan trend menurun selepas pelarasan inflasi sepanjang tempoh 25 tahun itu.

Menurut laporan berkenaan, dalam tempoh 1997 hingga 2022, gaji permulaan median pemegang ijazah sarjana mencatatkan penyusutan paling ketara, merosot 28 peratus atau susut 1.3 peratus setahun, manakala pemegang ijazah sarjana muda mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus atau susut 0.4 peratus setahun.

“Ini bermakna, graduan berkelulusan ijazah sarjana yang mula bekerja dalam sektor swasta pada 2022 memperoleh gaji hampir satu pertiga kurang berbanding rakan sejawat mereka pada tahun 1997,” kata PNBRI dalam laporan itu.

Kertas perbincangan laporan itu disediakan Farhana Roslan, Anis Farhana Amran dan Ahmad Farhan Roslan daripada PNBRI.

Laporan terkini itu juga menunjukkan gaji minimum mengurangkan ketidaksamaan gaji di seluruh peringkat pendidikan dengan gaji permulaan median bagi pendidikan rendah mencatat pertumbuhan paling tinggi sepanjang tempoh 1997 hingga 2022.

Menurutnya, gaji permulaan median bagi mereka yang memasuki tenaga kerja meningkat sebanyak 89 peratus atau 2.6 peratus setahun bagi lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 44 peratus atau 1.5 peratus setahun bagi lepasan SPM.

Justeru, ia bermakna, lepasan PMR memasuki sektor swasta buat pertama kali pada 2022 memperoleh gaji hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding rakan sejawat mereka pada 1997 dengan mengambil kira kadar inflasi.

“Trend gaji permulaan median bagi lepasan SPM dan PMR mengalami perubahan yang ketara pada 2013 – juga pertama kali perintah gaji minimum dikuatkuasakan.

“Walaupun gaji sebelumnya sebahagian besarnya kekal ‘tertekan’ di bawah RM1,000 selama lebih sedekad, peningkatan gaji bagi lulusan SPM dan PMR kelihatan secara eksklusif dikaitkan dengan gaji minimum,” menurut laporan itu.

Laporan terkini PNBRI itu juga menyatakan bahawa walaupun gaji minimum berperanan menyediakan paras asas sara hidup, ia mungkin tidak cukup berkesan dalam mengurangkan jurang pendapatan berdasarkan tahap pendidikan, terutamanya apabila gaji graduan berkelayakan tinggi tidak menunjukkan peningkatan seiring.

Laporan yang dibuat berdasarkan data pekerja tanpa pengalaman daripada Kaji Selidik Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) itu turut mengesahkan bahawa pemegang kelayakan lebih tinggi lazimnya memperoleh gaji lebih tinggi, dengan pemegang ijazah sarjana secara konsisten mencatatkan pendapatan tertinggi sepanjang tempoh dikaji.

Bagaimanapun, laporan itu menunjukkan pertumbuhan gaji bagi kelayakan yang lebih tinggi didapati semakin perlahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top