Beijing: Seorang lelaki muda dari China mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan gaya hidup elit untuk hidup sebagai gelandangan, dengan hanya berbelanja 100 yuan (kira-kira RM60 sebulan), lapor South China Morning Post.
Zhao Dian, 32, adalah seorang yang cemerlang dalam akademik, memperoleh dua ijazah sarjana muda dan tiga ijazah sarjana dalam bidang kewangan dari institusi pengajian di Sydney, New York, Beijing dan Paris.
Namun, dia menganggap pendidikan berprestij itu sebagai satu “belenggu” akibat zaman kanak-kanaknya yang bermasalah dan hubungan renggang dengan ibu bapanya.
Selepas bertahun-tahun di luar negara, dia menemui kegembiraan dalam melakukan tugas mudah seperti mencuci pinggan di sebuah restoran Cina di Paris.
“Mencuci pinggan boleh membawa kebahagiaan, jadi mengapa perlu menunggu pekerjaan yang ideal?” katanya.
Pada 2023, Zhao kembali ke China dan bekerja sebagai pelayan di sebuah festival bir tempatan dan di sebuah hotel.
Tahun lalu, Zhao tiba di Dali, Yunnan, di mana dia membuat keputusan drastik untuk hidup di jalanan.
Kini, dia hidup dengan perbelanjaan hanya 100 yuan (kira-kira RM60 sebulan), makan di restoran vegetarian percuma dan tidur menjelang 9 malam dengan simpanan peribadi berjumlah sekitar 2,500 yuan (kira-kira RM1,500).
Walaupun sudah memutuskan hubungan dengan ibu bapanya yang tinggal di New Zealand, Zhao masih berhubung secara dalam talian dengan anak perempuannya yang berusia 10 tahun hasil hubungan terdahulu.
Masanya kini diisi dengan membaca, mengembara dan menganjurkan kelab buku serta berkongsi video kaunseling psikologi dalam talian.
Zhao juga melancarkan projek untuk membantu kanak-kanak mencari minat sebenar mereka kerana percaya ramai yang hilang arah akibat persekitaran pendidikan yang toksik.
Pilihan hidupnya yang luar biasa itu mencetuskan reaksi bercampur-baur dengan ada pihak yang bersimpati dengan usahanya untuk memulihkan luka emosi.
Namun, ada juga yang mengkritiknya sebagai terlalu idealistik dan tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan pelaburan ibu bapanya serta tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




