am@hmetro.com.my
Keningau: Tindakan sekumpulan anak muda yang mengadakan lumba lari di atas jalan raya dan disertakan dengan pertaruhan membawa padah apabila lokasi ‘pertandingan’ di Bandar Baru Bataras diserbu polis.
Dalam serbuan berakhir 3 pagi Sabtu itu, polis turut merampas dadah disyaki syabu dan air ketum, sementara 11 lelaki ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk gagal mengemuka dokumen pengenalan diri.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, operasi bersepadu digerakkan 36 pegawai dan anggota, susulan maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai penganjuran aktiviti lumba lari di atas jalan raya awam tanpa kebenaran.
“Ketika operasi dijalankan, didapati acara itu dihadiri sejumlah remaja dan belia,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine serta minuman disyaki air ketum.
“Seorang lelaki ditahan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara 10 lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Beliau berkata, Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan selepas memeriksa 130 individu dan 105 kenderaan.
Yampil menegaskan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, sebaliknya bagi memastikan sebarang penganjuran program dilakukan secara sah dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Polis sentiasa menyokong program sukan yang terancang dan mematuhi undang-undang. Namun dalam kes ini, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran serta melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Jalan raya awam adalah kemudahan untuk semua pengguna. Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang awam kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan Bandar Baru Bataras dipercayai menyaksikan aktiviti lumba lari yang dijadikan medan pertaruhan.
Rakaman berdurasi beberapa saat itu turut menunjukkan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi sebelum beberapa individu dilihat ditahan bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




