redzuan.muharam@hmetro.com.my
Pasir Puteh: Kemalangan sembilan tahun lalu bukan hanya mengakibatkan pemuda ini lumpuh separuh badan namun tidak dapat mengingati semua ayat al-Quran yang pernah dihafaznya satu ketika dulu.
Bagaimanapun, keinginan mengingati semula kalam Allah SWT sekali gus bergelar hafiz mendorong Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 26, kembali mengaji dan cuba menghafaz al-Quran.
Berkongsi kisahnya, Muhammad Faiz Hafizuddin berkata, dia menghafaz al-Quran selepas belajar di sebuah pusat tahfiz dekat Kuala Krai, Kelantan.
Bagaimanapun, malang menimpa selepas van dinaikinya bersama rombongan terbabas ketika dalam perjalanan pusat tahfiz ke Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bahru, Kelantan bagi program tadarus al-Quran.
“Tujuh rakan saya terkorban dalam kemalangan itu namun saya terselamat cuma koma selama tiga bulan.
“Selepas tersedar, saya nampak umi dan abah namun memang tak ingat apa yang terjadi sebelum itu malah lupa semua ayat al-Quran.
“Kemudian bila doktor sahkan lumpuh seumur hidup, saya terima saja dan tak sedih pun kerana anggap itulah yang saya kena terima akibat kemalangan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, selepas sekian lama berehat, dia cuba kembali dengan rutin mengaji al-Quran sejak empat tahun lalu.
Menurut Muhammad Faiz Hafizuddin, apa dilakukan itu ternyata lebih memberinya ketenangan hingga tanamkan dalam diri untuk istiqamah melakukan rutin berkenaan.
“Dalam keadaan sekarang, saya tak dapat bekerja dan hanya dapat bergantung dengan keluarga selain elaun bulanan RM500 sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Tapi saya bersyukur kerana masih dapat mengaji dan ujian itu sebenarnya lebih mendekatkan diri saya dengan al-Quran.
“Selain itu, sebagai manusia dan hambaNya, saya sedar nikmat sihat itu sangat besar kerana bila sihat, kita boleh beribadah dengan sempurna tapi ramai yang pandang remeh,” katanya.
Muhammad Faiz Hafizuddin berkata, hidup perlu diteruskan walaupun banyak yang berubah dalam hidupnya selepas bergelar orang kurang upaya (OKU).
“Tapi keluarga, orang sekeliling dan yang mengikuti perkembangan saya di TikTok sangat positif malah banyak bagi semangat untuk terus kuat.
“Saya hargainya dan berharap satu hari nanti dapat uruskan diri kerana sekarang 100 peratus bergantung dengan umi dan abah.
“Insya-Allah, saya akan teruskan dengan rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tahun ini dan berdoa semoga semuanya dipermudahkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




