Lumpur, terik mentari, beban 20kg cabar peserta Project Strong

Lumpur, terik mentari, beban 20kg cabar peserta Project Strong

SABAK BERNAM – Mampukah kekuatan yang dibina di gimnasium diterjemahkan dalam dunia sebenar?

Persoalan itu bakal dijawab menerusi Project Strong: Ban Canal Edition, cabaran kecergasan separuh hari yang menguji ketahanan fizikal peserta dalam suasana sebenar kehidupan petani dan nelayan di Sabak Bernam, Selangor.

Dianjurkan oleh Sinar Daily selaku rakan media rasmi Karnival Ban Canal 2026, acara tersebut dijadual disertai 20 pasukan yang masing-masing dianggotai dua peserta.

Berbeza daripada pertandingan kecergasan konvensional, peserta tidak akan berdepan treadmill, barbel atau kemudahan gimnasium berhawa dingin. Sebaliknya, mereka perlu mengharungi pelbagai cabaran melibatkan ais, air, lumpur dan sawah padi selain mengangkat beban sehingga 20 kilogram (kg) di bawah cuaca panas.

Cabaran bermula di Masjid Ma’mudiah apabila setiap pasukan perlu berbasikal dan berlari menuju ke pusat pemeriksaan kedua.

Di lokasi tersebut, seorang peserta perlu melengkapkan aktiviti menggunakan papan kayuh berdiri (stand-up paddle) sebelum meneruskan larian ke pusat pemeriksaan seterusnya.

Perjalanan kemudian diteruskan dengan beberapa tugasan fizikal lain sebelum peserta tiba di tapak Karnival Ban Canal di Parit 14, Simpang Lima.

Antara cabaran utama ialah seorang peserta perlu memikul guni baja seberat 20kg manakala pasangannya membawa seikat buah kelapa untuk menempuh laluan yang ditetapkan sebelum kembali ke tapak karnival.

Setibanya di lokasi berkenaan, mereka perlu memecahkan buah kelapa dan mengisi sebuah jag dengan air kelapa sebelum berlari ke garisan penamat.

Menurut penganjur, Project Strong membawa mesej bahawa kekuatan sebenar tidak hanya diukur melalui jumlah beban yang mampu diangkat di gimnasium, sebaliknya bergantung kepada keupayaan mengaplikasikan kekuatan tersebut dalam situasi sebenar.

Tanpa peralatan khusus, persekitaran terkawal dan rutin senaman biasa, peserta perlu menyesuaikan diri dengan cabaran yang menyerupai tugasan harian masyarakat setempat.

Acara itu direka khas untuk peminat sukan kecergasan seperti Hyrox dan Spartan Race, dengan penekanan terhadap ketahanan fizikal, daya tahan mental serta kerjasama berpasukan melalui cabaran yang memanfaatkan elemen alam semula jadi dan keadaan sebenar di lapangan.

Penganjur turut menegaskan bahawa aspek keselamatan peserta dan penghormatan terhadap pekerjaan komuniti pertanian serta perikanan tempatan diberi perhatian sepanjang pelaksanaan program.

Bagi menambah kemeriahan persaingan, pasukan juara akan membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM1,500 dan RM1,000 berserta hadiah iringan.

Pasukan lain pula akan menerima hadiah saguhati bernilai RM300.

Dengan hanya 20 slot penyertaan ditawarkan, orang ramai yang berminat digalakkan mendaftar lebih awal.

Peserta juga perlu mengambil maklum bahawa keseluruhan acara akan dirakam untuk tujuan siaran dan penerbitan digital, dengan persetujuan rakaman menjadi sebahagian daripada syarat pendaftaran.

 

 

Scroll to Top