mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Tidak mahu dibelenggu hutang dan kesedaran memastikan penuntut lain berpeluang menikmati manfaat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendorong peminjam berusaha melangsaikan hutang mereka sebaik tamat pengajian.
Perancang di sebuah syarikat pembuatan, Suzanne Olivia Areh, 28, berkata dia berjaya melunaskan hutang pinjaman PTPTN berjumlah RM13,000 selepas empat tahun memasuki alam pekerjaan.
“Semua hutang PTPTN berjaya saya lunaskan kerana terpanggil melangsaikan dengan cepat atas dasar kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang pemiutang serta mengelakkan diri daripada senarai hitam jika mahu membuat pinjaman lain.
“Dengan itu, secara tidak langsung, pelajar lain yang kurang berkemampuan juga akan berpeluang mendapat pinjaman PTPTN apabila menyambung pelajaran mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Wanita itu berkata demikian bagi mengulas kewajipan membayar hutang susulan PTPTN merekodkan 400,000 peminjam tidak pernah membayar langsung hutang pinjaman itu yang kini mencecah RM5 bilion.
Suzanne Olivia turut menasihati mereka yang belum melunaskan bayaran pinjaman PTPTN supaya menjalankan tanggungjawab masing-masing.
“Tidak kisah walaupun bayaran hanya sedikit, tetapi itu suatu komitmen dan amanah demi membina peluang kepada generasi seterusnya,” katanya.
Pendapat sama turut dizahirkan, lelaki dikenali sebagai Zam, 32, yang lega apabila tidak lagi dibebani dengan hutang PTPTN selepas melunaskan pinjaman selepas empat tahun memasuki alam pekerjaan.
“Saya tidak mahu rasa terbeban dengan hutang, jadi ambil pendekatan bayar lebih awal memandangkan pada waktu itu komitmen belum tinggi kerana masih belum berumah tangga.
“Cara saya ialah ketepikan RM200 hingga RM300 sebulan untuk membayar PTPTN secara bulanan dan bakinya saya tambah dengan mengeluarkan simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.
Sementara itu, jurujual, Nur Syafiqah Mohamad Jafri, 26, berkata dia memulakan pembayaran PTPTN seawal tahun pertama bekerja selepas tamat tiga tahun pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya baru saja dua tahun bekerja dan membuat potongan gaji setiap bulan melalui aplikasi PTPTN.
“Saya sedang berusaha langsaikan pinjaman PTPTN secepat mungkin, insya-Allah sasaran saya mahu selesaikan hutang ini dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya kini sedang menyambung pengajian Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di UKM.
Katanya, dia rasa bertanggungjawab menyelesaikan segera hutang supaya pelajar lain terutama golongan kurang berkemampuan turut merasai manfaat pinjaman PTPTN demi masa depan mereka.
“Pesanan saya untuk mereka yang belum mula membayar hutang PTPTN dan diri saya juga supaya melaksanakan tanggungjawab ini.
“Ini bagi memberi peluang kepada anak muda yang lain terutama golongan pelajar kurang berkemampuan supaya dapat merasai faedah sama.
“Tak kisah jika tidak mampu untuk langsaikan sekali gus, tetapi jangan pula sampai tidak langsung membuat bayaran semula hutang PTPTN,” katanya.
Selain itu, jururawat, Puteri Nur Syafiqah Shamsul Azli, 26, berkata dia mula membayar PTPTN sejak 2020 sebaik sahaja tampat pengajian dalam Diploma Kejururawatan dengan hasil bekerja sambilan.
“Sementara menunggu, panggilan temuduga jururawat, saya sudah pun mulakan kerja sambilan untuk mencari duit tambahan untuk alam pekerjaan dan bayaran balik PTPTN.
“Kesedaran membayar balik pinjaman PTPTN datang selepas mendengar banyak seminar dan ikuti mentor Azizah Hassan yang banyak mengajar supaya bijak mengurus kewangan pada usia masih muda,” katanya.
Katanya, ramai generasi muda tersilap langkah terutama membeli kereta walaupun baru memasuki alam pekerjaan menyebabkan mereka terikat dengan komitmen baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd

