Lupakan kekalahan acara berpasukan, tumpu cabaran individu- Iskandar

Lupakan kekalahan acara berpasukan, tumpu cabaran individu- Iskandar

saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mahu anak buahnya segera melupakan kekecewaan gagal mara ke final acara berpasukan dan menumpukan sepenuhnya kepada cabaran individu.

Beliau berharap perseorangan utama, K Letshanaa dan Wong Ling Ching mampu kembali mempamerkan taring sebenar selepas masing-masing melalui prestasi berbeza dalam aksi berpasukan ketika menentang Indonesia di separuh akhir, semalam.

“Saya mahu melihat Letshanaa tampil lebih garang di dalam gelanggang, sama seperti watak dan rentak yang dipamerkannya ketika aksi suku akhir.

“Memang Letshanaa ada sedikit penurunan dari segi fokus dan fizikal ketika separuh akhir, tetapi saya percaya masih ada ruang untuk pemulihan penuh sebelum aksi seterusnya. Kecederaan kecil sebelum ke Thailand juga tidak serius,” katanya.

Bagi Ling Ching, Iskandar percaya pemain muda itu kini berada pada momentum terbaik selepas mencipta sensasi menewaskan pemain nombor 10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung.

Beliau menyifatkan Ling Ching memiliki karakter permainan matang, variasi serangan kemas serta keyakinan tinggi untuk menyaingi kelompok pemain terbaik dunia, namun mengingatkan supaya tidak terlalu lena dengan kejayaan itu.

“Ling Ching sudah buktikan kemampuan, tetapi perjalanan masih panjang. Pendekatan satu demi satu perlawanan adalah paling penting buat masa ini,” katanya.

Skuad wanita negara membawa pulang pingat gangsa selepas tewas 2-3 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir, semalam.

Sementara itu mengulas perkembangan pemain remaja berusia 19 tahun, Siti Zulaikha Azmi, Iskandar berkata pengalaman di pentas Sukan SEA menjadi proses pembelajaran untuknya.

“Dari segi fizikal kita tiada isu, cuma variasi pukulan dan kematangan taktikal yang membezakan kita dengan pemain Indonesia. Ini pengalaman penting buat Zulaikha untuk terus meningkatkan kualiti permainannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top