
Antara aksi menarik Malaysia menentang China dalam perlawanan Kumpulan A Piala Asia 2025. – Foto: Malaysian Hockey Confederation
PENGENDALI skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mahu pemain-pemain Malaysian Tigress segera melupakan kekalahan memalukan 0-8 kepada China dan bangkit pada perlawanan menentang Taiwan, pada Ahad.
Anak buah Nasihin memulakan kempen hoki wanita Piala Asia Hoki 2025 dengan langkah kiri apabila tewas besar kepada tuan rumah pada aksi pembukaan Kumpulan A, Jumaat.
Katanya, pasukan akan mengadakan sesi latihan intensif serta analisa video bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya.
“Hari ini jelas kelihatan beberapa pemain hilang keyakinan selepas dibolosi bertubi-tubi.
“Untuk perlawanan seterusnya, kami mahu mereka bangkit dengan semangat juang lebih kental selain memastikan pemain tampil lebih bersemangat tinggi,” katanya.
Perlawanan bermula sukar buat Tigress apabila gawang dibolosi seawal minit pertama menerusi jaringan padang Zou Meirong.
Biarpun berusaha mengatur gerakan balas, pasukan negara terus diasak dan melepaskan gol kedua hasil sentuhan Li Hong sebelum Ou Zixia menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit kemudian.
Separuh masa kedua menyaksikan dominasi tuan rumah semakin jelas apabila menambah lima lagi jaringan bermula ledakan Dan Wen (32’), Fan Yunxia (34’), Zou Meirong (36’), Chen Yang (40’) dan Zhong Jiaqi (49’) untuk melengkapkan kemenangan 8-0.
Mengulas keputusan itu, Nasihin Nubli mengakui cabaran menentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik itu dijangka getir.
“Kita sudah jangka China akan turun dengan misi memburu jaringan besar. Gol awal yang dilepaskan menyebabkan corak permainan kita menjadi tidak teratur. Namun, ada juga beberapa aspek positif dapat dilihat, antaranya kemampuan bertahan secara berkumpulan,” katanya.
Beliau menambah, 10 pukulan sudut penalti yang diberikan adalah hasil kawalan rapat terhadap pemain lawan, walaupun terdapat jurang kepantasan berbanding China. Struktur permainan juga ditukar dengan menambah lebih ramai pemain di kawasan pertahanan bagi mengekang asakan lawan.
Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama China, Taiwan dan Korea Selatan, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir.
Â