Luqman Hakim dipanggil semula, perkuat Harimau Malaya hadapi Vietnam

Luqman Hakim dipanggil semula, perkuat Harimau Malaya hadapi Vietnam
Luqman Hakim dipanggil semula, perkuat Harimau Malaya hadapi Vietnam

Luqman Hakim. Foto: Bernama

PENYERANG Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi aksi terakhir Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi pasukan kebangsaan Malaysia NT hari ini, bekas pemain muda sensasi negara itu antara lima penyerang yang dipilih selain Mohamad Faisal Abdul Halim, pemain naturalisasi Paulo Josue, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman dan Muhammad Safawi Rasid.

Pemilihan itu membuka peluang kepada Luqman Hakim untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas kira-kira empat tahun, dengan penampilan terakhir pada aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.

Selain Luqman Hakim, ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski turut membawa masuk dua muka baharu, iaitu dua pemain pertahanan Muhammad Feroz Baharudin serta Muhammad Syahmi Safari.

Skuad bimbingan Cklamovski dijadualkan memulakan kem latihan pusat bermula Isnin depan, dengan pasukan negara difahamkan akan menjalani sesi latihan sehari di sini sebelum meneruskan persiapan di Bangkok, Thailand, seterusnya berlepas ke Vietnam.

Vietnam kini diambang melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2027 apabila mendahului saingan Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, diikuti Malaysia kedua (9 mata) manakala Laos dan Nepal masing-masing di tempat ketiga dan keempat dengan berkongsi tiga mata.

Hasrat Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Asia buat kali kedua berturut-turut secara merit tidak kesampaian selepas menerima hukuman pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Pada Selasa lepas, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 masing-masing menentang Nepal dan Vietnam.

Hukuman oleh AFC itu susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengekalkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kes melibatkan pelanggaran peraturan berkaitan dokumentasi pemain. – Bernama 

Ringkasan AI

  • Luqman Hakim Shamsudin kembali ke skuad kebangsaan Malaysia untuk Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam
  • Dia adalah salah satu dari lima penyerang yang dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski
  • Ini merupakan pengembalian Luqman Hakim selepas empat tahun, dengan penampilan terakhirnya pada Mac 2022
  • Vietnam mendahului Kumpulan F dengan 15 mata, Malaysia di tempat kedua dengan 9 mata
  • Malaysia menerima hukuman pemotongan mata oleh AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua aksi kelayakan
Scroll to Top