am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Luqman Hafidz, 30, mendakwa menjadi mangsa cemburu seorang pelakon yang menuduhnya cuba membayangi posisinya sebagai pemegang watak utama dalam sebuah drama.
Luqman atau nama sebenarnya Muhammad Luqman Hafidz Mohd Fauzi, turut mendakwa perkara itu didedahkan sendiri kru balik tabir produksi berkenaan kepadanya.
“Ada kru produksi memaklumkan kepada saya mengenai perasaan tidak puas hati diluahkan pelakon berkenaan di lokasi.
“Dia mendakwa saya cuba ‘overshadow’ lakonannya selaku teraju utama membuatkan pengarah pun tertanya-tanya sama ada saya ada masalah dengan pelakon berkenaan.
“Selepas itu memang saya serik untuk berlakon dengannya. Tak mahu berdepan lagi kejadian sama,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton drama Bilal dan Abah di TV AlHijrah.
Pelakon Ola Bola itu juga, nekad bersemuka dengan pelakon berkenaan kerana tidak puas hati atas tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
“Ketika berlakon, saya buat bersungguh-sungguh kerana mahu menghayati watak.
“Saya baca skrip dan ikut kata pengarah agar kekal ‘in character’, tetapi tak pernah terlintas nak membayangi lakonannya.
“Kecoh juga di lokasi bila ramai tahu saya bersemuka dengannya, namun mereka tahu perangai sebenar pelakon berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.
Walaupun sudah setahun berlalu, kejadian itu memberi impak dan masih berbekas di hati Luqman serta menimbulkan rasa risau setiap kali dirinya masuk ke lokasi penggambaran.
Terdahulu, menerusi drama Bilal dan Abah arahan Pali Yahya itu, Luqman memegang watak antagonis bernama Jalal.
Selain Luqman, drama yang bakal bersiaran pada 8 Jun ini turut menampilkan lakonan hebat Azhan Rani, Ummi Nazeera dan Harun Hashim.
© New Straits Times Press (M) Bhd