ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas melalui pelbagai dugaan, pelari 400 meter (m) negara, Luqmanul Hakim Khairul Akmal nekad untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa dengan menjadikan Sukan Sea Thailand 2025 sebagai sasaran utama.
Luqmanul Hakim, 26, yang sepatutnya beraksi di Sukan Sea Kemboja 2023, terpaksa melupakan hasratnya akibat insiden yang berlaku sebelum temasya itu.
Malah, sepanjang tahun lalu, dia tidak menyertai sebarang kejohanan dan kini mahu bangkit semula.
“Dua tahun lalu, nama saya ada dalam senarai Sukan Sea, tapi saya mengalami insiden sebelum temasya itu. Tahun selepasnya, saya langsung tak beraksi dalam mana-mana kejohanan.
“Sebab itu tahun ini, saya letak sasaran untuk kembali kerana ada Sukan Sea Thailand,” katanya menerusi hantaran di Facebook Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Pelari berpengalaman ini pernah mewakili negara di Sukan Sea Manila 2019 dalam acara individu 400m dan 4x400m bersama Muhammad Ilham Suhaimi, Saiful Safwan Saifuddin serta Abdul Wafiy Roslan.
Namun, kecederaan menafikan peluangnya untuk menyerlah.
“Saya layak ke final 400m tapi cedera di separuh akhir. Untuk 4x400m pula, ramai rakan sepasukan turut alami kecederaan, jadi sasaran gangsa tak kesampaian,” katanya yang memiliki catatan peribadi 46.92 saat dalam acara itu.
Dengan semangat baharu, Luqmanul Hakim kini meletakkan misi utama untuk layak ke Sukan Sea.
“Kalau dapat kembali dalam kuartet 4x400m pun saya dah cukup bersyukur. Saya sudah lama dalam senarai, tapi banyak dugaan yang saya lalui. Sekarang, saya mahu buat kemunculan semula,” katanya penuh tekad.
© New Straits Times Press (M) Bhd