Lurah ais sedalam 1,000 meter

Lurah ais sedalam 1,000 meter

anbia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lurah ais sedalam lebih 1,000 meter antara cabaran dilalui malim gunung atau sherpa ketika menjejaki pendaki orang kurang upaya (OKU) warga Malaysia, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest sejak Jumaat lalu.

Dia yang menyertai ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) dipercayai terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse, Nepal.

Sumber berkata, tiga malim gunung berpengalaman diarahkan untuk menjejaki mangsa sejak Ahad lalu.

“Mereka berusaha mencari mangsa di lurah ais sekitar laluan pendaki menuju ke Base Camp.

“Bagaimanapun pencarian di lurah ais berkenaan amat berisiko dan mencabar serta memerlukan kemahiran tinggi. Mereka perlu menuruni lurah ais yang disyaki dilalui Muhammad Hawari.

“Difahamkan ada antara lurah ais itu mempunyai kedalaman sehingga satu kilometer.

“Ia mampu meragut nyawa sesiapa sahaja jika tergelincir jatuh dari ketinggian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, selain menggunakan khidmat malim gunung, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal turut berikhtiar mengesan mangsa menggunakan isyarat telefon bimbit digunakan mangsa.

“Bagaimanapun, usaha berkenaan mengalami kesukaran berikutan isyarat terakhir dikesan adalah pada 6 Mei lalu.

“Usaha pencarian dan mengesan Muhammad Hawari semakin suntuk ketika ini berikutan Kerajaan Nepal akan menutup semua aktiviti di pergunungan Everest pada 29 Mei hadapan atas faktor keselamatan,” katanya.

Difahamkan, apabila musim pendakian gunung Everest tamat pada penghujung Mei ini, pihak berkuasa negara berkenaan akan membawa keluar semua peralatan perkhemahan, tali dan tangga dari kawasan pendakian.

“Jika ini berlaku, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan mungkin terpaksa dihentikan kelak.

Ia hanya boleh disambung semula pada musim pendakian pada tahun hadapan iaitu antara bulan April hingga Mei.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Muhammad Hawari dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud itu turut disertai ketua ekspedisi yang juga bekas pendaki Everest 2016 Azim Afif Ishak dan Vincent Tiong Ling Yang.

Mereka memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top